KUALA LUMPUR,— UMNO Negeri Sembilan menegaskan krisis politik di negeri itu bukan berkisar soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar, sebaliknya membabitkan kegagalan Datuk Seri Aminuddin Harun mengurus krisis adat sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinannya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, soal calon Menteri Besar bukan keputusan UMNO Negeri Sembilan semata-mata, sebaliknya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Katanya, tumpuan utama ketika ini ialah kegagalan mengurus krisis adat sehingga mencetuskan ketegangan politik dan menjejaskan reputasi institusi adat Negeri Sembilan.
“Ini bukan keputusan tentang siapa Menteri Besar. Itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Kalau calon daripada PKR tetapi orang lain, itu keputusan yang kita tunggu daripada pimpinan tertinggi. Bagi kita, itu bukan persoalannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC, hari ini.
Jalaluddin berkata, isu sebenar bukan soal politik, kuasa atau individu tertentu, tetapi tanggungjawab kerajaan negeri terhadap rakyat.
Menurut beliau, seorang Menteri Besar tidak boleh membiarkan krisis adat berlarutan sehingga mencetuskan perdebatan terbuka yang akhirnya menjejaskan reputasi institusi adat Negeri Sembilan.
“Persoalannya bukan soal politik, bukan soal kuasa dan bukan soal individu.
“Soalnya berkaitan tanggungjawab kita kepada rakyat. Sebagai Menteri Besar, beliau tidak boleh membiarkan krisis ini sehingga berlakunya letusan krisis adat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, apabila krisis adat dibiarkan menjadi perdebatan umum di pelbagai platform, pelbagai pandangan dan persepsi akan muncul dalam kalangan masyarakat.
Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan apabila ada pihak yang memahami adat, manakala sebahagian lain tidak memahami struktur dan kedudukan adat Negeri Sembilan.
“Apabila perdebatan secara umum dilakukan, bermakna pelbagai pandangan dan persepsi akan dikeluarkan oleh masyarakat.
“Ada yang faham tentang adat, ada yang tidak faham soal adat. Maka pelbagai persepsi buruk akan menjadi perbincangan di media sosial,” katanya.
Jalaluddin berkata, keadaan itu boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya anak muda dan pelajar, sehingga menjejaskan reputasi institusi adat itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan politik dengan menarik sokongan terhadap Aminuddin.
“Sebab itu UMNO tidak ada pilihan dan terpaksa mengambil tindakan sedemikian,” katanya.
Jalaluddin sebelum ini menegaskan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Negeri Sembilan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Beliau berkata, pendirian itu tidak berkaitan kepentingan politik, kuasa atau gerakan “tebuk atap”, sebaliknya membabitkan soal urus tadbir kerajaan dalam mengurus institusi adat dan pentadbiran Negeri Sembilan. -SuaraTV



