Semua ahli Bersatu disaran kembali semula kepada Umno secara ‘en bloc’ -Veteran Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bersatu disaran untuk membubarkan parti mereka dan kembali semula kepada Umno.

Setiausaha Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata demikian sebagai reaksi kenyataan berulang kali daripada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai kesediaan bekerjasama dengan Umno.

Ujarnya ini menunjukkan realiti kebimbangan nasib parti bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN) yang retak menunggu belah.

Malah, beliau berkata Pas sendiri berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti itu diterima dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara itu sudah berlaku beberapa kali.

“Bukan sekali, tapi sudah berkali-kali Pas telah menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa PMX (Perdana Menteri) untuk tujuan itu.

“Bersatu menyedari itu dan terasa mereka akan ‘dikencing’ (dikhianati) Pas. Maka sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, maka mereka menawarkan untuk bekerjasama dengan Umno atas alasan dasar perjuangan Umno dan Bersatu adalah sama iaitu untuk agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Semalam, Hamzah dilapor berkata Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno kerana kedua-dua parti itu berkongsi asas ideologi yang sama.

Menurut Hamzah, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli Bersatu.

Mengulas lanjut Mustapha mengakui kenyataan mengenai persamaan itu ada benarnya memandangkan Perlembagaan Bersatu adalah ‘copy Paste’ (salin dan tampal) Perlembagaan Umno. malah seluruh kepimpinan dan ahli parti itu juga memiliki DNA Umno.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menyarankan Bersatu tidak perlu bekerjasama dengan Umno.

Sebaliknya, katanya pucuk pimpinan Bersatu perlu memanggil perhimpunan agung khas dan membuat keputusan membubarkan parti seperti pernah dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah semasa pembubaran Semangat 46.

“Semua ahli Bersatu kembali semula kepada Umno secara ‘en bloc’ (dalam satu kumpulan).

“Itulah cara yang terbaik kalau Bersatu mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara, bukan bekerjasama dengan Umno tetapi bersama dalam Umno,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat