CYBERJAYA – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy, menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN), terutamanya MCA dan MIC, yang menurutnya semakin tersisih dan kehilangan pengaruh sejak UMNO mendominasi arah tuju gabungan itu.
Beliau merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin UMNO yang menyarankan MCA agar tidak merajuk dan sebaliknya mengukuhkan hubungan dengan akar umbi masyarakat Cina. Namun, Ramasamy menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak adil dan mengabaikan hakikat sebenar kemerosotan sokongan terhadap MCA.
“Dominasi UMNO dalam politik berasaskan etnik dan agama telah melemahkan relevansi MCA, MIC dan Gerakan dalam kalangan masyarakat mereka sendiri,” katanya.
Tambah beliau, kejatuhan BN turut dipercepatkan apabila UMNO memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP — sebuah parti yang selama ini digambarkan oleh UMNO sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu.
“Langkah ini dilihat sebagai satu pengkhianatan oleh penyokong MCA dan MIC yang selama ini dijadikan kambing hitam dalam naratif politik UMNO,” ujar Ramasamy.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk MCA dan MIC melakukan muhasabah politik secara menyeluruh dan mempertimbangkan untuk keluar dari gabungan BN yang kini tidak lagi membawa manfaat kepada komuniti yang mereka wakili.
“Jika tidak, mereka akan terus tenggelam dalam bayangan UMNO dan hilang terus dari landskap politik negara,” katanya lagi.