Hael Husaini “Antonim Night” Persembahan Intim, Penuh Jiwa dan Emosi

- Advertisement -

Penyanyi dan komposer tersohor tanah air, Hael Husaini, kembali menyapa para peminatnya dengan sebuah persembahan istimewa yang dijangka menyentuh hati – Antonim Night. Showcase eksklusif ini bakal berlangsung pada 31 Mei 2025, jam 8.30 malam, bertempat di Nero Event Space, PJPAC 1Utama E, dengan kapasiti terhad hanya untuk 300 orang penonton.

Bagi Hael, Antonim Night bukan sekadar persembahan, tetapi merupakan hadiah peribadi buat mereka yang pernah menyokongnya sejak awal perjalanan kerjaya, termasuk peminat yang sebelum ini membeli tiket konsert yang tidak sempat dilangsungkan. “Showcase kali ini saya anggap sebagai hadiah baharu untuk peminat yang pernah beli tiket konsert saya sebelum ini yang tak menjadi,” ujar Hael jujur, dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Dengan konsep yang lebih intim dan bersifat peribadi, persembahan ini memfokuskan kepada lagu-lagu daripada album sulungnya yang dianggap sebagai “first baby” dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu. “Saya nak bawa sesuatu yang lebih dekat dengan jiwa – lagu-lagu dari album ‘first baby’ saya yang sangat peribadi,” katanya lagi.

Menariknya, sambutan luar biasa telah diberikan oleh para peminat apabila tiket Antonim Night yang mula dijual secara atas talian pada 1 Mei 2025 jam 12 tengah hari, habis dijual dalam masa hanya 17 minit. Sesuatu yang turut mengejutkan Hael sendiri. “Saya tak pernah sangka saya ada pengikut yang sanggup beli tiket secepat itu. Bila habis dalam 17 minit, saya rasa sangat terharu,” jelasnya sambil meluahkan rasa syukur atas sokongan yang berterusan.

Antonim Night juga menjanjikan susunan muzik yang segar dan eksklusif. Di bawah pimpinan Pengarah Muzik Sze Wan, Hael turut melibatkan diri secara langsung dalam penyusunan lagu bagi memastikan persembahan malam itu berbeza daripada persembahan-persembahan beliau sebelum ini. “Setiap persembahan saya kena ada kelainan. Arrangement muzik kali ini memang eksklusif, bukan apa yang mereka pernah dengar sebelum ini,” katanya yang sering dikenali kerana ketelitian dalam setiap persembahan pentasnya.

Dikhabarkan juga, malam tersebut bakal menampilkan sedikit pratonton kepada perancangan muziknya untuk tahun 2025. Hael enggan mendedahkan secara terperinci, namun memberi bayangan akan ada kejutan yang menanti. “Malam itu akan ada sedikit preview untuk tahun 2025. Siapa yang datang, mereka akan tahu apa yang bakal berlaku,” ujarnya ringkas.

Sebagai persiapan rapi untuk persembahan, Hael turut berkongsi kepentingan menjaga kesihatan dan vokal sebelum naik ke pentas. Beliau mengakui kebiasaannya akan direhatkan beberapa hari sebelum persembahan besar bagi memastikan suaranya berada dalam keadaan optimum. “Saya memang akan rehatkan diri sebelum konsert untuk pastikan suara segar. Bila ianya berbayar, kita kena pastikan mereka pulang dengan sesuatu yang berbaloi,” jelas Hael yang juga menekankan pentingnya keikhlasan dan kualiti dalam setiap karya yang disampaikan kepada pendengar.

Meski pun sudah berpengalaman luas, rasa gementar tetap hadir menjelang persembahan. Namun bagi Hael, ia satu perkara yang baik. “Nervous tu penting, sebab ia buat saya lebih berhati-hati dan bersedia. Tapi dalam masa yang sama, saya sangat teruja,” katanya lagi sambil tersenyum.

Antonim Night diterbitkan hasil kerjasama dua nama besar dalam industri — Usanita Entertainment yang diterajui oleh Datuk Adzliana Hasan, dan Mask Team pimpinan Shawn Amer. Gabungan pengalaman, visi kreatif, serta strategi penganjuran yang teliti oleh kedua-dua pihak ini dilihat menjadi pemangkin kepada kejayaan awal showcase ini yang mendapat sambutan luar biasa sejak hari pertama pelancaran tiket.

Bukan sekadar konsert, Antonim Night menjanjikan sebuah pengalaman peribadi antara artis dan peminat, penuh dengan emosi, kejutan dan keindahan seni yang tulus dari hati seorang Hael Husaini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat