KUALA LUMPUR- Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno.
Hal ini kerana menurut Timbalan Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bersatu dan Umno berkongsi asas ideologi yang sama dan disebabkan itu, parti terbabit bersedia untuk menjalinkan bekerjasama bagi mencapai misi yang sama.
“Jika dilihat dari sudut agenda, Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.
“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama.
“Ia untuk tujuan yang lebih besar, demi tujuan asal kami,” katanya dalam podcast yang dihoskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube semalam, lapor BH.
Dalam podcast sama, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut memberitahu bekas pemimpin MIC dan MCA sudah mendaftar untuk menjadi ahli Bersatu.
Katanya, Bersatu dan Umno tidak sehaluan kerana perbezaan keutamaan kepemimpinan dengan parti itu mahu membawa agenda lebih segar.
Beliau mendakwa ramai bekas ahli Barisan Nasional (BN) mengemukakan rayuan untuk menyertai parti terbabit.
“Di sini, kita dapat lihat terdapat kecenderungan untuk mereka dalam kalangan bukan Bumiputera bersama (Bersatu),” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa pemimpin ini meninggalkan BN, Hamzah berkata beliau tidak tahu sebab sebenar.
Namun, beliau mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu mengangkat suara rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Katanya, sayap bersekutu Bersatu tidak lagi dilihat sebagai sekutu semata-mata, tetapi kini sebahagian daripada sayap parti.
“Pemimpin mereka sudah pun duduk di peringkat yang sama dengan Naib Presiden parti.
“Ini bermakna, dalam mesyuarat kita membincangkan segala-galanya. Kita sangat inklusif. Kita memberi ruang kepada bukan Melayu untuk merasakan bahawa ini bukan gabungan semata-mata, tetapi mereka adalah sebahagian daripada parti,” katanya.
Hamzah berkata Bersatu turut mendapatkan pandangan ramai bagi menambah ahli bersekutu.
“Jika kita perluaskan (ahli bersekutu) dengan memberitahu lebih ramai orang, minat mereka akan meningkat. Kita semua boleh bersama, dalam satu parti,” katanya.