KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa mengambil cuti panjang tidak perlu dijadikan isu.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, cuti dimohon Ahli Parlimen Pandan itu hanyalah beberapa hari, bukan sehingga hujung bulan seperti dilaporkan media massa.
“(Rafizi cuti hanya) beberapa hari. Bagilah (dia cuti).
“Tak ada isu,” kata Anwar ringkas ketika ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra lapor BH di Kuala Langat.
Desas-desus mengenai Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, didakwa mengambil cuti panjang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi PKR terutamanya menjelang proses pencalonan bagi Pemilihan Keadilan 2025, dijadual esok dan Ahad.
Anwar seperti dilaporkan media semalam, dikatakan sudah memaklumkan mengenai perkembangan itu dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga berseloroh untuk turut mengambil cuti selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
“Ada ke soalan tak boleh cuti. Saya pun nak cari beberapa hari nak cuti. Saya pun belum ambil cuti. Lepas Sidang Kemuncak (ASEAN) boleh tak bagi saya beberapa hari cuti,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, sementara Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula pada penghujung Oktober, sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Tema ASEAN 2025 ialah Keterangkuman dan Kemampanan sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau serta global selain mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan dan saksama.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.