KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan kelulusan cuti Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selama sebulan kerana negara memerlukan semua anggota Jemaah Menteri khususnya yang berkaitan dengan ekonomi untuk berkhidmat dan mencari solusi terbaik.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Harris Idaham Rashid mengingatkan bahawa Malaysia sedang menghadapi peperangan dagang akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat sebanyak 24 peratus.
Justeru katanya, rakyat Malaysia tentunya berharap agar Menteri yang memegang portfolio berkaitan pelaburan, ekonomi, industri untuk mengerahkan seluruh usaha dan komitmen untuk memastikan ekonomi dan industri Malaysia tetap kukuh dan mampu mengawal kemunduran.
“Armada Bersatu difahamkan melalui laporan akhbar bahawa Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli sedang dalam tempoh bercuti sehingga 31 Mei 2025. Sayap Armada Bersatu ingin menzahirkan kekhuatiran terhadap perkara tersebut.
“Dengan ketiadaan Menteri Ekonomi selama satu bulan yang kritikal di mana banyak perkara polisi yang akan diputuskan oleh kerajaan, Armada berpendapat bahawa ini adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut Harris Idaham juga mengesyaki bahawa pengambilan cuti ini juga disebabkan oleh kekalahan pemimpin-pemimpin pro Rafizi dalam
pemilihan jawatankuasa peringkat cabang seluruh Malaysia yang baru selesai.
“Armada ingin memberi amaran kepada semua anggota Kabinet untuk tidak mencampur adukkan isu dalaman parti dan pemerintahan negara ini.
“Rakyat tidak bersalah dalam keraguan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat, maka jangan menghukum rakyat dengan menunjukan tanda protes,” ujarnya lagi.
Media semalam melaporkan, seorang Menteri Kabinet menolak khabar angin bahawa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sudah melepaskan jawatan beliau di dalam kerajaan.
Sebaliknya menteri tersebut memberitahu bahawa, Ahli Parlimen Pandan itu kini sedang bercuti untuk beberapa hari.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat Kabinet hari ini bahawa Rafizi sedang bercuti beberapa hari.
“Tiada peletakan jawatan berlaku, dan khabar angin ini sama sekali tidak benar,” katanya.