KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, biarlah gagal di mata manusia, apatah lagi di mata pencacai berbayar, daripada gagal di mata Allah.
Tanpa menyangkal label menteri paling gagal yang dilemparkan kepadanya, Rafizi mengakui beliau gagal berdiam diri apabila rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat beliau bersuara.
“Saya juga sedar saya pun ada banyak perkara yang gagal. Sebahagian kegagalan saya itu ada kesan kepada masyarakat.
“Minggu ini, Datuk Seri Najib Razak diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan akibat penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.
“Masa saya mula-mula dedah mengenai SRC dan 1MDB, ramai pencacai yang memaki fitnah, gagal, sotong dan macam-macam. Minggu ini, mahkamah membuktikan kegagalan saya itu ada kebenaran.
“Minggu ini juga, kenyataan saya yang menamakan Naib Presiden PKR, R Ramanan sebagai ahli parlimen yang menerima RM9.5 juta dari Victor Chin dalam kes mafia korporat masih tidak dicabar.
“Saya juga gagal dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca, saya gagal takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa.
“Saya juga gagal berhenti walau disiasat, disaman, dikenakan tekanan. Jumlah kes dan siasatan yang saya terpaksa lalui sejak 2010 hingga sekarang sudah mencecah 20 kes, sebahagiannya menyebabkan saya dilokap dan dijatuhkan hukuman penjara. Tapi saya tetap gagal berhenti,” tegasnya.
Katanya perkara yang paling gagal ialah beliau gagal meletakkan kepentingan peribadi dan keluarganya setelah beliau pikul amanah jadi ahli Parlimen.
“Setelah anak saya diserang, isteri saya diugut, sepatutnya saya ikut saja apa yang mereka mahu – saya berhenti dari politik, cium tangan dan membodek, walaupun saya tahu ada perkara yang tidak kena.
“Tapi sebab saya sudah setuju untuk pikul amanah, mahu tidak mahu, selagi itulah saya perlu teruskan kegagalan saya,” ikrar Rafizi.
Beliau berkata demikian merujuk, berita wajib tiap-tiap hari kebelakangan ini ialah “Rafizi menteri paling gagal, patut bersara dari politik”.
Ujar bekas Menteri Ekonomi itu, seluruh media; dari media perdana ke media ceplos akan ulang perkara yang sama. Koordinasi berita-berita ini sangat baik.
“Sudah tentu serangan dan naratif “menteri gagal” ini disusun; ada kumpulan berpengaruh di belakang naratif ini.
“Sebabnya individu-individu yang buat serangan dan gesaan ini, orang pun tak kenal. Kalau tidak disusun, saya tak rasa media-media utama di negara ini sudi menghabiskan ruang media mereka melaporkan komen-komen mereka.
“Ini antara individu-individu yang disusun untuk mengulangi serangan – cuba tengok mana yang betul-betul anda kenal sebelum ini: Ng Lum Yong – konon pengasas PKR yang kemudian masuk MCA dan tiap-tiap hari maki Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Faizan Mohd Noor – konon aktivis politik? Eh aktivis politik senang-senang masuk berita, berlambak lagi menteri yang berhari-hari media tak cover.
“Mahmud Epah – yang dapat 721 undi sahaja dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.
“Saya akan jawab tuduhan-tuduhan “menteri gagal” ini dalam Podcast YBM #42 hari Jumaat ini.
“Saya tidaklah terkejut dengan serangan-serangan ini kerana ia cubaan untuk mengalih perhatian,” bidas beliau.



