CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada guru dan murid yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa seramai 107 warga KPM telah dikenal pasti terkesan dalam kejadian itu, termasuk 5 guru dan 102 murid, sementara empat mangsa masih menerima rawatan di hospital.
“Warga KPM antara yang menerima kesan akibat kejadian ini dan ia melibatkan anak-anak kita daripada 23 sekolah di kawasan ini, jadi KPM ambil tanggungjawab penuh untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Menurut Fadhlina, bantuan ini akan disalurkan secepat mungkin selepas Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) selesai mengumpulkan dan menyemak data mangsa. Sumbangan ini bertujuan untuk menggantikan barangan persekolahan yang musnah, termasuk buku teks dan dokumen peribadi.
“JPNS turut memaklumkan ada dari mangsa ini yang total lost, bermakna barangan keperluan sekolah tiada langsung, musnah sama sekali, jadi saya turut minta mereka bantu dari konteks itu … bantuan ini juga akan disokong oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara,” tambahnya.
Selain bantuan kewangan, KPM turut mengaktifkan pasukan kaunselor dan pasukan sokongan akademik di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Puchong bagi memastikan kebersediaan murid menjelang sesi persekolahan minggu depan.
“Saya sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri untuk memantau rapat, data ini sangat dinamik, anak-anak yang terlibat akan dipantau dari hari ke hari bagi memastikan semua sistem sokongan akan disalurkan kepada mereka,” ujar Fadhlina.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga yang terjejas dan menegaskan komitmen KPM untuk memastikan kebajikan warga pendidik serta murid yang terkesan terus terjaga dalam mengharungi situasi ini.