Malaysia Tidak Iktiraf Tuntutan Pihak Yang Mendakwa Waris Sultan Sulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Jamalul Kiram II, melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Malah, kerajaan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama menjelaskan, perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

“Kerajaan Malaysia ingin menekankan bahawa identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan sama berkata, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kota Kinabalu, membuat keputusan tidak memihak kepada pihak yang menuntut dengan memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

“Dalam isu ini, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah adalah forum neutral serta teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan Perjanjian 1878 itu.

“Kerajaan Malaysia sendiri sudah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol, bagaimanapun, permohonan itu belum didengar,” katanya.

Kenyataan bersama ini merujuk laporan sebuah portal berita Sepanyol bahawa kerajaan Malaysia diarah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Ia susulan dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878 ditandatangani antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent, di mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini sebahagian Sabah.

Sebagai balasan, Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun, bagaimanapun susulan serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran itu dihentikan pada 2013.

Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan sama berkata, kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya Final Award bertarikh 28 Februari lalu, yang dikeluarkan Stampa.

Katanya, walau apa keputusan pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid, pihak yang menuntut dalam cubaan mereka memintas keputusan ini tanpa pengetahuan kerajaan Malaysia sudah memperoleh perintah ‘ex parte’ Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis (Perintah Exequatur) untuk mengiktiraf ‘Partial Award On Jurisdiction’ dikeluarkan Stampa pada 25 Mei 2020 (yang dibatalkan akibat keputusan pembatalan).

“Berdasarkan Perintah Exequatur, Stampa menukar tempat timbang tara ke Paris, Perancis untuk mengeluarkan Final Award,” katanya.

Susulan tindakan penuntut, kenyataan itu memaklumkan kerajaan Malaysia memfailkan satu rayuan terhadap Perintah Exequatur itu di Mahkamah di Perancis dan berjaya memperoleh perintah ‘ex parte’ bertarikh 16 Disember 2021 (perintah penggantungan).

“Ia daripada presiden pertama Mahkamah Rayuan Paris yang menggantung pelaksanaan Perintah Exequatur di Perancis dan menghalang penuntut daripada bergantung kepada Perintah Exequatur itu.

“Bertentangan dan bercanggahan Perintah Penggantungan itu, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur itu berkuat kuasa dan Final Award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

“Stampa bersetuju dengan permohonan penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan Perintah Exequatur. Justeru, kesannya Final Award dikeluarkan Stampa pada 28 Februari lalu bukan sahaja mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia, tetap tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.

“Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang diambil Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu, serta semua keputusannya yang mana adalah tidak sah dari segi undang-undang,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
2,269FollowersFollow
27,593FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat