KOTA KINABALU, — Selepas hampir 24 jam dilihat “menegur” Barisan Nasional (BN) secara terbuka di media sosial, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini tampil dengan nada lebih lunak ketika mengulas pembentukan Kabinet Sabah.
Sejak semalam, Armizan mengulang siar beberapa kenyataan pemimpin BN yang menghentam GRS, sekali gus menimbulkan tafsiran bahawa beliau kurang senang dengan keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk memasukkan ADUN BN ke dalam barisan Kabinet baharu.
Namun kenyataan rasmi Armizan petang ini menampakkan peralihan nada apabila beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri mesti dibina atas komitmen semua parti dan ADUN terlibat bagi mewujudkan hala tuju negeri yang stabil serta berpaksikan kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan peranan lima ADUN Bebas yang sebelum penamaan calon merupakan sebahagian kepimpinan GRS, namun kini menjadi suara penting dalam kerajaan baharu Sabah. Armizan berkata agenda mengutamakan hak dan kepentingan Sabah sebagaimana termaktub dalam aku janji pilihan raya perlu menjadi teras pentadbiran.
“Walaupun tiada satu gabungan memperoleh majoriti mudah, mandat rakyat jelas mereka mahukan kerajaan dibentuk untuk membawa perubahan yang lebih bermakna,” katanya.
Beliau juga menyeru semua ADUN kerajaan menumpukan usaha menunaikan aspirasi rakyat melalui pentadbiran yang stabil, inklusif dan berintegriti, sambil mengingatkan bahawa pembangkang tetap memainkan peranan semak dan imbang.
Kenyataan ini dibuat hanya beberapa jam selepas Hajiji mengumumkan pelantikan 10 anggota Kabinet Negeri Sabah, yang terdiri daripada tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick selain tujuh menteri lain termasuk wakil BN, PH, GRS dan Bebas.
Senarai tersebut dilihat sebagai kombinasi yang bertujuan menstabilkan kerajaan pasca keputusan PRN yang tidak menghasilkan majoriti mudah untuk mana-mana gabungan.
Menurut pemerhati politik, Ab Jalil Backer, langkah Hajiji ini bukan sekadar pembahagian portfolio, tetapi satu percaturan politik yang matang.
“Pada akhirnya, politik memerlukan kebijaksanaan untuk survival. Hajiji Noor belajar dari pengalaman panjang dalam UMNO, Bersatu dan kini GRS,” tulisnya.
Beliau menulis barisan Kabinet yang diumumkan Hajiji hari ini mungkin tidak memuaskan hati keseluruhan penyokong masing-masing, namun ia berpotensi menstabilkan kerajaan negeri untuk jangka masa lebih panjang.
“Hajiji sedar 29 kerusi bukan angka untuk bermegah kerana ia boleh menjadikannya pembangkang juga pada masa hadapan. Hajiji mungkin bukan orator hebat atau petah berdegar-degar, tetapi beliau pencatur yang luar biasa mententeramkan para ‘serigala politik’ di pelbagai sudut.”
Menurutnya, dengan formula baharu ini, kerajaan pimpinan Hajiji dijangka berada dalam keadaan lebih tenteram sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. -SuaraTv



