Varian Omicron: Tidak Perlu Sekatan Ketat, Patuh SOP Dan Ambil Dos Penggalak – Pakar

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk dilaksanakan semula sekatan-sekatan yang ketat untuk mendepani gelombang jangkitan baharu bawaan varian Omicron.

Pandangan itu diberi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, dengan syarat masyarakat seluruhnya harus terus mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan.

Katanya, Omicron akan disusuli dengan pelbagai lagi mutasi baharu yang dijangka muncul dalam tempoh setahun atau dua tahun mendatang, tetapi tidak perlu untuk panik.

“Kita tak perlu mengulang kembali peraturan atau sekatan-sekatan lama, kita nampak bahawa bila masyarakat telah bersedia maknanya mematuhi SOP dan kedua telah melengkapkan vaksin.

“Jadi saya rasa kita tak perlu kembali ke masa dulu dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat untuk semua negeri; saya tak nampak yang kita perlu mengadakan tindakan yang drastik.”

Beliau juga berkata, kita sepatutnya sudah belajar untuk hidup bersama COVID-19 dan perlahan-lahan melangkah masuk ke fasa endemik.

Namun beliau yakin kerajaan mengambil langkah sewajarnya yang lebih ke hadapan untuk menerima gelombang jangkitan baharu bawaan varian tersebut.

Pada masa sama, beliau juga menjangkakan gelombang jangkitan Omicron ini tidak akan sebesar yang dibawa oleh varian Delta atau yang sebelumnya, memandangkan kadar vaksinasi yang sudah tinggi serta sekatan perjalanan berfokus yang masih diamalkan di banyak negara.

Bagaimanapun, seluruh anggota masyarakat diseru untuk mengambil dos tambahan atau penggalak sebagai perlindungan tambahan berdepan ketidaktentuan masa hadapan.

Tonton temu bual penuh bersama Dr Zainal Ariffin dalam Agenda AWANI dihoskan oleh Fauzi Zin.

– Astro Awani