KUALA LUMPUR: Visa, pemimpin dunia dalam pembayaran digital, hari ini mendedahkan bahawa hampir tujuh daripada 10 (65%) rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk melancong di dalam negara, menurut tinjauan Visa Voice of the Consumer.

Di samping itu, hampir separuh (40%) daripada mereka sedang merancang untuk melancong ke luar negara untuk tujuan riadah menjelang pertengahan 2022.

Tinjauan juga mendapati bahawa tiga pertimbangan utama bagi pelancong Malaysia yang ingin melepaskan gian melancong termasuk mendapatkan vaksin (66%), kestabilan situasi COVID di destinasi pelancongan (66%), dan pengurangan kes jangkitan COVID global (56%).

Pengurus Negara bagi Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, walaupun sempadan negeri dan negara telah mula dibuka untuk pelancongan, keselamatan peribadi tetap diutamakan oleh pengguna.

Beliau berkata, syarikat-syarikat perniagaan, sama ada hotel, restoran, syarikat pengangkutan atau rekreasi mesti terus bingkas menangani sekatan dan mencegah gelombang jangkitan masa depan.

Menurutnya, satu daripada aktiviti yang tetap perlu dilakukan oleh semua pengembara tidak kira di mana destinasi mereka ialah membuat bayaran.

“Sebab itulah pembayaran digital akan memainkan peranan penting merangsang pemulihan perniagaan dan juga mengehadkan sentuhan fizikal dan penyebaran jangkitan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pelancong di serata Asia Pasifik juga menggunakan pendekatan berbeza untuk melancong berbanding zaman sebelum pandemik.

Dua daripada lima (42%) responden bercadang untuk mengelakkan tempat-tempat pelancongan penuh sesak, manakala 44% bercadang membawa lebih banyak kad, atau menggunakan telefon mudah alih untuk membayar, mengelakkan diri daripada mengunjungi pengurup wang dan menyentuh tunai.

Lebih separuh (53%) akan meluangkan lebih masa untuk menempah penginapan yang selamat dengan kualiti yang terjamin.

Dari segi destinasi perjalanan luar negara yang menjadi pilihan, sebahagian besar daripada pelancong Malaysia mahu mengunjungi China, Australia, dan Jepun, disusuli oleh negara-negara jiran – Thailand, dan Singapura.

Apabila ditanya tentang kesanggupan mereka untuk mengembara, hanya tiga daripada sepuluh rakyat Malaysia berkata mereka tidak berkenaan dengan pendekatan gelembung perjalanan.

Lebih daripada separuh (54%) menyatakan minat mengembara di dalam gelembung perjalanan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat, manakala 16% mahu melancong secepat mungkin, apabila gelembung perjalanan dilaksanakan.

Kong Boon berkata, semasa pandemik, kaedah pembayaran tanpa sentuhan telah mencatatkan pertumbuhan ketara kerana kelebihannya dari segi kelajuan, kepantasan dan keselamatan.

“Kami percaya bahawa amalan pembayaran tanpa tunai akan terus menjadi kelaziman dalam era selepas pandemik kerana kaedah tanpa sentuhan dijangka kekal sebagai pilihan pertama bagi urus niaga bersemuka,’” ujarnya.

Menurutnya, syarikat-syarikat perniagaan hendaklah terus memenuhi kehendak pengguna sambil industri pelancongan kembali pulih.

*Berita asal di DagangNews.com

– Astro Awani