CYBERJAYA – YTL Power International Berhad kini muncul sebagai pemegang saham utama Ranhill Utilities Berhad selepas memperoleh 243.33 juta saham atau 18.87 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Memetik laporan DagangNews, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, YTL Power berkata, transaksi itu dibuat pada hari ini.
Pada waktu rehat pasaran tengah hari Rabu, saham Ranhill menokok setengah sen atau 0.86 peratus pada 58.5 sen, dengan 1.08 juta saham selesai didagangkan.
Menurut laporan itu lagi, nilai pasaran Ranhill ialah RM765.27 juta dan harga sahamnya telah meningkat 30 peratus setakat tahun ini.
Kaunter Ranhill diniagakan dalam julat 58 sen hingga 59.5 sen pada sesi pagi Rabu, dengan pengiraan mencadangkan YTL Power mengeluarkan antara RM141.13 juta dan RM144.78 juta bagi memiliki 18.87% pegangan dalam Ranhill.
Dalam pada itu, saham YTL Power pada sesi pagi turun dua sen atau 0.95% pada RM2.09 sesaham, dengan 4.6 juta saham diniagakan.
Permodalan pasarannya berjumlah RM17.05 bilion, kata laporan itu lagi.