Adibah jual rumah, gadai barang kemas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi Terlalu Istimewa, Adibah Noor mengaku terpaksa menjual rumah dan menggadai barang kemas berikutan kesempitan wang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu.

Hilang mata pencarian akibat penularan COVID-19, Adibah memberitahu, artis seperti dirinya tidak terkecuali daripada menerima kesan penularan virus itu, sama seperti orang lain.

Namun, kata Adibah atau nama penuhnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 50, ramai menyangka anak seni yang dilihat di atas pentas atau hadapan lensa, hidup mewah.

“Saya menerima banyak mesej dalam media sosial yang memohon bantuan kewangan. Mana yang saya boleh dan sempat bantu, saya tolong.

“Pekerja seni macam saya yang berada di depan lensa kamera dan atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif bekerja dalam bidang seni.

“Hakikatnya, ketika PKP, saya tidak ada ‘job’ langsung sekali gus tiada pendapatan.

“Jadi, selepas PKP, iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” katanya yang berkongsi video meluahkan masalah kewangan yang dihadapi ketika PKP.

Adibah bagaimanapun berkata, bayaran yang diterima selepas PKP tidak lagi sama seperti sebelum pandemik tercetus.

“Kadar bayaran yang kita terima tidaklah semewah sebelum pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, saya ambil sahaja mana-mana tawaran. Sekurang-kurangnya saya ada pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Adibah mengaku terpaksa menjual rumah dan menggadai barang kemas untuk mengatasi masalah kewangan.

“Saya tak malu memberitahu, banyak benda yang saya sudah jual. Saya jual rumah dan barang kemas pun ada di pajak gadai.

Adibah Noor turut membintangi drama Kampung People musim kedua. - Foto Adibah Noor
Adibah Noor turut membintangi drama Kampung People musim kedua. – Foto Adibah Noor

“Saya tak malu nak beritahu saya juga mengalami kesusahan atau kesukaran daripada segi kewangan. Tetapi kita cuba cari jalan sendiri,” katanya.

Disebabkan situasi dihadapinya, Adibah menjelaskan, dia tidak dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sejujurnya, saya hendak beritahu kepada anda yang memohon belas kasihan dan bantuan, saya tidak dapat hendak bantu kerana saya baru kembali bekerja.

“Walaupun ketika PKP tiada pendapatan, saya tetap perlu membayar gaji pekerja dan menyediakan makanan untuk 37 ekor kucing peliharaan saya.

“Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati. Saya cuma nak beritahu hakikatnya, saya juga mempunyai masalah sendiri.

“Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri.

“Apa-apapun, saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga Tuhan permudahkan segala urusan kita,” katanya.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat