Pakej Agropelancongan Durian Tourism serendah RM70

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

LENGGENG – 62 pakej agropelancongan Durian Tourism ditawarkan kepada pelancong tempatan dan luar negara bagi merasai sendiri pengalaman berada di dusun durian sambil menikmati keenakan raja buah itu.

Ianya sebagai usaha Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) merancakkan sektor pelancongan di samping memeriahkan serta mempromosikan musim durian di Malaysia.

Tourism Malaysia mensasarkan jualan pakej Durian Tourism lebih RM2 juta menerusi pelbagai pakej menarik ditawarkan menerusi kerjasama dengan 27 pengendali pelancongan tempatan melibatkan 12 negeri bermula Jun sehingga Disember 2025.

Ianya inisiatif Tourism Malaysia bagi menambah kepelbagaian penawaran pakej pelancongan di dalam negara malah memperkenalkan lebih banyak destinasi yang memberikan impak positif kepada perkembangan kegiatan ekonomi setempat.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan berkata demikian ketika melancarkan Pakej Agropelancongan Durian Tourism 2024/2025 di Broga Orchard Hill pada Khamis lalu.

Turut hadir, Pengurus Pembangunan Produk dan Perkhidmatan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Anuwar Yaakob.

Saidi berkata, pakej yang ditawarkan bermula serendah RM70 seorang untuk aktiviti makan durian di Relau, Kedah sehingga RM4,450 bagi itinerari 3 hari 2 malam di Bentong Bilut Hills, Pahang.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti ditawarkan termasuk lawatan ke dusun durian, mengutip serta menikmati durian dan buah-buahan tempatan, mengikuti kelas memasak, membuat tempoyak, berakit, pengalaman tinggal di kampung selain menaiki kereta api dan bermain golf.

Katanya, nilai jualan pakej Durian Tourism bagi kempen yang telah dilaksanakan pada 2022 merekodkan sebanyak RM107,000 dan angka ini terus melonjak naik kepada RM1.6 juta pada 2023.

Pakej-pakej yang dibangunkan pada kali ini meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sabah bermula Jun 2024 untuk tempoh sah kempen sehingga Disember 2025.

Selain Brunei, pihaknya menyasarkan pasaran luar negara seperti, Brunei, China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura menerusi penerbitan bahan promosi pakej Durian Tourism dalam bahasa Mandarin, untuk datang ke Malaysia bagi merasai sendiri pengalaman unik ini.

“Pelancaran pakej ini bukan sahaja diharap dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi yang mampu memberikan impak kepada kegiatan ekonomi setempat.

“Malah, program agropelancongan ini yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai salah satu segmen produk pelancongan minat khas.

“Selain itu, memperkukuhkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pelancongan lestari seiring dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

“Program ini memberikan manfaat kepada pengusaha tanaman dan produk berasaskan durian menerusi penjanaan pendapatan, hasil daripada lawatan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dusun durian selain jualan produk durian secara langsung,” katanya.

Ujarnya, dari ladang-ladang durian yang subur di Pahang dan Johor ke kampung-kampung yang menawarkan pengalaman memetik sendiri durian di Sabah dan Sarawak bagi memenuhi segenap cita rasa dan kehendak para pelancong.

“Pakej ini tidak sekadar menawarkan pengalaman makan buah durian yang segar dan lazat, malah pelancong turut menikmati keindahan alam semula jadi serta budaya masyarakat tempatan.

“Selain itu, mereka dapat memahami warisan dan kehidupan masyarakat di Malaysia,” ujarnya lagi.

Sementalah itu, Pegawai Pelancongan Kanan Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia, Marhafizman Mohamad Daud memaklumkan, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini, giat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Katanya, untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan, sila layari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat