KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa sebanyak 8,083,685 dos vaksin diberikan sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu hingga semalam.
“Seramai 5,774,667 individu sudah menerima dos pertama, mencakupi 17.7 peratus populasi negara.
“Jumlah penerima dos kedua dan lengkap imunisasi COVID-19 ialah 2,309,018 orang yang bersamaan 7.1 peratus populasi negara,” katanya dalam Twitter, hari ini.
Beliau berkata, kapasiti vaksinasi harian juga kembali melepasi 250,000 dos, dengan merekodkan pemberian 258,773 dos di seluruh negara sehingga semalam.
Dr Adham turut berkongsi data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang menunjukkan penduduk di Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama yang tertinggi dengan 1.02 juta individu atau 57.6 peratus daripada populasinya.