KUALA LUMPUR – Kempen kibar bendera putih sebagai isyarat terputus bekalan makanan adalah bukti jelas kerajaan tidak lagi mampu menjaga rakyat,” kata Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Aziz Kaprawi.
Kata beliau, tular di media sosial ketika ini mengenai kempen bendera putih yang memperlihatkan ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan PKP yang berterusan terpaksa memohon bantuan daripada orang ramai dengan memasang bendera putih di hadapan rumah mereka.
Menurut Aziz kempen ini secara langsung telah membukti kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
” Muhyiddin serta jemaah menterinya seolah-olah terputus hubungan dengan rakyat sehinggakan perutusan demi perutusan bantuan kerajaan tidak sampai kepada golongan yang terjejas ini.
” Lebih memilukan lagi, terdapat ahli Yang Berhormat sama ada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyokong kempen ini walhal mereka yang dipilih oleh rakyat ini perlu bertanggung jawab ke atas kebajikan rakyat di kawasan mereka,” bidas Aziz dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Malah, kata beliau terdapat jua seorang menteri yang terkenal dengan harta dan kekayaan menyokong kempen ini walhal sepatutnya beliau yang perlu turun padang dan memberi bantuan tersebut.
“Tidakkah beliau sepatutnya malu sekiranya terdapat waimah satu bendera putih dipacakkan kerana ia bermaksud menteri tersebut telah gagal mengurus kebajikan rakyat di kawasannya?
” Maka benarlah dakwaan para netizen bahawa ketika ini kerajaan tidak lagi mampu menjaga rakyat, sebaliknya rakyat yang perlu menjaga rakyat,” ujar beliau.