PEKAN: Melalui laman Facebooknya, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kempen dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Chini kali ini amat unik dan berbeza dengan kempen PRK yang lain sebelum ini
Ini berikutan sokongan yang diberikan jentera PPBM yang turut turun membantu kempen calon BN menjelang hari pengundian 4hb depan.
Mengulas tentang suasana kempen di Chini sekarang, Najib berkata, “Kini, kedua-dua jentera Barisan Nasional dan PAS telah masuk ‘gear lima'”.
“Kali ini, pemimpin-pemimpin PPBM turut memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional dan bersama-sama menyumbang tenaga dan masa”.
Menurut beliau lagi, Presiden dan Pemangku Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah juga mengerahkan jentera dan akar umbi partinya di Pekan bagi memastikan kemenangan PRK Chini milik Barisan Nasional.
“Saya menerima baik dan menyampaikan penghargaan saya dan jentera PRK Chini kepada Tan Sri Muhyiddin, pemimpin-pemimpin kanan dan ahli-ahli PPBM yang berjuang bersama kita”, kata Najib lagi.
“Malah sepanjang seminggu lebih kita berkempen di PRK Chini, saya dapat melihat sendiri gandingan BN, PAS termasuklah PPBM”.
BN, PAS, PPBM. Kukuh jentera PRK Chini.
Selaku Pengarah Pilihanraya PRK kali ini, Najib mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak dan rakyat.
“Insya-Allah, saya yakin PRK Chini ini akan memberikan satu kemenangan rakyat pada 4 Julai ini”.
“Naik turun, susah senang, kami Barisan Nasional tetap ada bersama rakyat”.
“Tidak pernah selangkah kami meninggalkan perjuangan rakyat”.
“Hidup rakyat! Hidup rakyat! Hidup rakyat!”, tulis beliau di akhir postingnya.