Tengku Zafrul Kekal Sebagai Menteri, Anwar Puji Prestasi Tarik Pelaburan

- Advertisement -

CYBERJAYA : Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan Tengku Zafrul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terjejas walaupun beliau mengumumkan keluar dari UMNO dan berhasrat menyertai PKR.

Menurut Anwar, prestasi Tengku Zafrul dalam kerajaan sangat memberangsangkan, khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing yang memberi manfaat besar kepada negara.

“Soal kedudukan menteri tidak terjejas. Kita mahukan beliau teruskan tugas kerana prestasinya sebagai menteri pelaburan baik, dan negara memerlukan sumbangan beliau,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC.

Anwar diminta mengulas mengenai pengumuman Tengku Zafrul yang menyatakan beliau telah menghantar surat keluar daripada UMNO, termasuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, pada Jumaat lalu.

Tengku Zafrul menjelaskan keputusan itu dibuat selepas melalui proses muhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keserasian dan kesesuaian dalam perjuangan politiknya.

Langkah beliau bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada pimpinan UMNO. Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, antaranya menggesa agar Tengku Zafrul turut meletakkan jawatan sebagai menteri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi pula berharap kuota tujuh menteri penuh dikembalikan kepada BN susulan tindakan Tengku Zafrul itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata PKR masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan UMNO berhubung perkara tersebut, memandangkan Tengku Zafrul bakal menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat.

“Jadi biar dulu dan tak payah banyak tafsiran yang kurang sihat. Orang ambil keputusan dan kita (perlu) hormat keputusan dia.

“Bagi PKR, tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan dan fikir sebaiknya,” katanya yang juga Presiden PKR.

Anwar turut menegaskan tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini. Beliau menjelaskan dua kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan baru-baru ini akan dipangku oleh menteri lain buat sementara waktu.

“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya.

“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat