PM sahkan tiada rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan ura-ura kononnya kerajaan akan merombak Kabinet.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya menegaskan keputusan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin umum keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia tiada kaitan dengan rombakan Kabinet.

“Zuraida masih bercuti, dia belum berjumpa dan berbincang dengan saya berkenaan kedudukannya dalam Kabinet. Dia kata dia akan jelaskan dan bincang sebelum saya buat keputusan.

“Bila dia dah jumpa dan kami bincang. Saya akan putuskan kedudukan Zuraida dalam Kabinet.

“Sebenarnya pengumuman Zuraida (keluar Bersatu) tiada kaitan dengan rombakan Kabinet. Dia umum dulu baru timbul khabar angin(rombak Kabinet).

“Saya taktaula apa berlaku lepas ni kita tunggu lah. Dia cuma keluar daripada Bersatu tak berhenti daripada Kabinet. Di Kabinet berbeza, parti dia berbeza jadi dia keluar Bersatu pun dia tak bincang dengan saya…memang tak bincang dengan saya lah itu soal parti dia. Selepas itu dari segi jawatan dia kena bincang dengan Kabinet,” jelas Ismail Sabri ketika ditemui media di WTC Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan susulan tindakan Zuraida umum keluar Bersatu dikhabarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.