Amanah Kurang Senang Aziz Bari Mahu Tanding Parlimen Tambun

- Advertisement -

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) Perak belum memutuskan parti mana akan bertanding di Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 akan datang, kata Ketua Amanah Perak Asmuni Awi.

Kurang senang dengan tindakan Ketua Pembangkang DUN Perak Abdul Aziz Bari yang lebih awal menyatakan hasrat bertanding di Tambun, Asmuni berkata tidak ada masalah untuk Aziz mahu bercita-cita bertanding di situ.

Namun, tindakannya menyatakan hasrat secara terbuka merupakan keputusan individu.

“Itu dia katalah (mahu bertanding di Parlimen Tambun), tapi dari segi PH kita tak bincang pun lagi.

“Dia nak bercita-cita begitu tiada masalah, tapi apa sekalipun parti yang akan buat keputusan dan lebih penting daripada itu, peringkat PH negeri sendiri yang akan buat keputusan, siapa dan parti mana yang akan bertanding di Tambun.”

“Jadi dia tak bolehlah main ‘chop-chop’ macam itu saja. Kalau macam itu orang lain pun boleh ‘put a stake‘ di situ, tak boleh macam itu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Asmuni berkata, DAP pun mungkin berminat bertanding di Tambun namun mungkin calon lain.

Katanya, malah PKR dan Amanah juga mungkin berminat meletakkan calon di Parlimen Tambun.

“Jadi perkara ini biarlah diputuskan oleh kepimpinan parti siapa dan akan bertanding di mana, bukan khusus untuk Parlimen Tambun saja tapi di tempat-tempat lain,” katanya.

Ditanya sama ada Amanah berminat meletakkan calon di Parlimen Tambun, Asmuni berkata, parti itu telah mengenal pasti calon namun belum membuat keputusan lagi.

“Mungkin juga saya (bertanding di Parlimen Tambun),” katanya.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai ADUN Manjoi jika beliau bertanding di Parlimen Tambun, Asmuni berkata, perkara itu belum dibuat keputusan.

“Itu semua kemungkinan sahaja. Mungkin juga saya ambil Parlimen saja atau pun macam-macam, sebab kita tak buat keputusan lagi.

“Terlalu awal pada peringkat ini untuk kita putuskan siapa yang bertanding di mana, parti yang akan memutuskan calon-calonnya bukan individu.

“Saya sendiri pun tidak mengatakan saya akan bertanding di Manjoi, walaupun mungkin saya ada niat macam itu tapi kalau parti tak ‘endorse‘ saya pun tak boleh ke mana,” katanya.

Sebelum ini, Aziz menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

PKR dan Amanah membantah perkara itu malah PKR Cabang Tambun dengan tegas menyatakan bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Aziz.

Parlimen Tambun ketika ini disandang Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu yang memenangi kerusi berkenaan ketika bersama PH, sebelum parti itu keluar membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan sokongan BN, PAS dan GPS. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat