KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, parti-parti komponen gabungan itu telah sebulat suara menetapkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusinya.
Annuar menegaskan, perkara itu sudah pun diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN bulan lalu.
“BN dalam mesyuarat Dewan Tertingginya bulan lalu telah menetapkan sebulat suara bahawa secara konvensyen dan konsensus, presiden Umno adalah pengerusi BN,” katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos menyokong bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk diberikan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut.
Ia bagi menguatkan gabungan tersebut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.
Jamal berkata jawatan itu perlu diberikan kepada Najib kerana peranannya kini sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN dilihat agak minimum.- SuaraTV