KUALA LUMPUR– UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan kepada jasa besar bekas Perdana Menteri itu dalam pembangunan modal insan negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pengumuman rasmi penjenamaan itu akan dilakukan pada 12 Mei 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang memberikan kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.
“Kemenangan dengan majoriti besar di hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) menunjukkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO dan BN,” katanya.
UMNO turut mengucapkan terima kasih kepada jentera parti, komponen BN serta rakan-rakan dari Pakatan Harapan dan Friends of BN yang turut membantu sepanjang tempoh kempen PRK tersebut.
Dalam perkembangan lain, UMNO mengumumkan penganjuran Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama pada 11 Mei 2025 sempena sambutan ulang tahun ke-79 parti itu. Majlis akan berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dan diselaraskan bersama sambutan Hari UMNO.