AS Berterima Kasih Malaysia Bantu Bawa Keluar Warganya Daripada Sudan

CYBERJAYA – Amerika Syarikat (AS) menghargai dan berterima kasih kepada Malaysia yang berjaya membawa dua warganegaranya keluar daripada Sudan semasa proses evakuasi dan menyelamat rakyat negara ini, lapor portal Utusan.

Memetik laporan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha AS, Antony Blinken yang merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana membantu membawa keluar warganya daripada Sudan.

“Setiausaha Negara AS secara khusus merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua orang warganegaranya semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan.

“Usaha dilakukan oleh pihak wakil Malaysia diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bahawa bantuan diberikan tanpa mengira warganegara sangat-sangat dihargai sehingga sanggup berhadapan dengan risiko yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 30 rakyat Malaysia di Sudan berjaya dipindahkan selepas menempuh perjalanan sejauh 1,233 kilometer (KM) yang mengambil masa kira-kira 30 jam melalui proses evakuasi.

Dalam misi itu juga, Malaysia turut membantu membawa keluar enam warga Kemboja, Singapura (14 orang), AS (dua orang) dan masing-masing seorang warga Filipina, Thailand, Palestin serta Sudan.

Situasi getir tersebut terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia dan warganegara lain di Sudan selepas peperangan tercetus di sana ekoran krisis yang dihadapi oleh pihak tentera nasional dan Pasukan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF).

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan bahawa beliau bersama Blinken turut bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, isu serantau dan antarabanga yang berkepentingan bersama.

“Kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, serta perubahan iklim,” jelasnya.

Beliau berkata, kedua-dua pihak sepakat untuk terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan perkongsian komprehensif Malaysia-AS.

“Semoga hubungan antara Malaysia-AS dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat