Malaysia perlu bersedia hadapi kenaikan kos bahan api, walaupun tidak terlalu tinggi – Suruhanjaya Tenaga

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi peningkatan kos bahan api untuk penjanaan elektrik susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang berterusan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, kesan terhadap sistem tenaga negara masih terkawal kerana sebahagian besar bekalan gas adalah daripada sumber domestik.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus gas bagi penjanaan elektrik di negara ini adalah daripada sumber domestik, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung kepada turun naik harga global.

“Namun, kita masih terkesan kerana ia berkait dengan harga rujukan pasaran (MRP),” katanya dalam sesi soal jawab bersama media selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026, di Putrajaya pada Rabu.

Beliau menjelaskan, peningkatan kos bahan api dijangka akan mula diterjemahkan ke dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).

“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan itu mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, pelarasan melalui AFA dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus, manakala sebarang peningkatan melebihi paras itu memerlukan kelulusan kerajaan.

“Kos itu tetap kos, ia perlu dibayar tetapi bagaimana ia disalurkan bergantung kepada keputusan kerajaan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Siti Safinah berkata, kurang 20 peratus bekalan gas yang diimport turut menyumbang kepada pendedahan terhadap harga global, khususnya kontrak yang diindeks kepada pasaran minyak.

Tambahnya, situasi global turut menyaksikan peningkatan harga arang batu apabila negara-negara lain beralih kepada sumber tersebut berikutan kekangan bekalan gas.

Menurut beliau, Malaysia yang mengimport sepenuhnya arang batu bagi penjanaan elektrik tidak terkecuali daripada tekanan kenaikan harga tersebut.

“Seperti yang kita lihat dalam situasi krisis sebelum ini khususnya pada 2022 semasa krisis Ukraine–Rusia, apabila bekalan gas menjadi ketat secara global, dunia cenderung beralih semula kepada arang batu. Ini menyebabkan harga arang batu meningkat.

“Jadi di bahagian arang batu, kita juga mula melihat harga meningkat secara perlahan. Ia tidak melonjak, tidak meningkat secara mendadak, tetapi mula naik. Oleh itu, kita masih mempunyai pendedahan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelarasan kos dijangka berlaku dalam tempoh terdekat apabila peningkatan harga bahan api mula diserap ke dalam sistem.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat