Malaysia catat keputusan terbaik dalam domain penulisan SEA-PLM 2024

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dan memberansangkan dalam domain Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 seperti yang diumumkan baru-baru ini di Phnom Penh, Cambodia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata pencapaian skor purata bagi domain Penulisan murid Malaysia adalah sebanyak 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau, dan yang tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.

“Sebanyak 21 peratus (%) murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak lima peratus.

“Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan.

“Walau bagaimanapun, jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih wujud yang menjadi cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama, ”kata kenyataan itu.

Katanya, SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.

“Bagi Malaysia, pentaksiran ini melibatkan 4,379 murid di 158 sekolah rendah, merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dan SK Asli; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta. Keputusan domain Bacaan dan Matematik telah diumumkan pada bulan Dis 2025.

“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi manfaat anak-anak Malaysia,”katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian terbaik Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam hantaran melalui Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada pentadbir sekolah, semua guru dan ibu bapa yang telah bersama-sama berkerja keras memastikan kejayaan ini.

“Pencapaian ini pastinya menjadi penyuntik semangat untuk kami terus berikhtiar meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi manfaat semua anak Malaysia, ”katanya.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat