Bantuan RM5,000 kepada Mangsa Kebakaran di Subang Jaya – Anwar

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya. Bantuan sebanyak RM5,000 diberikan kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya, manakala lebih 100 pemilik rumah yang mengalami kerosakan sebahagian menerima RM2,500.

Dalam lawatannya ke lokasi kebakaran dan pusat operasi, Anwar menegaskan bahawa kerajaan, bersama PETRONAS dan kerajaan negeri, akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam usaha memulihkan kawasan perumahan yang terjejas.

“Kami sedang berbincang mengenai langkah-langkah sesuai berkaitan penempatan mangsa sebelum mereka mampu kembali ke kediaman masing-masing.

“Perbincangan dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), kerajaan negeri dan PETRONAS mendapati rumah mereka tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa terlalu singkat.

“Kerajaan dan PETRONAS sedang berbincang bagaimana untuk mengambil tindakan segera dan munasabah kerana ia akan mengambil masa setahun, bukan seperti bencana banjir yang hanya berlangsung seminggu atau dua minggu.

“Saya harap jangan bimbang, cuma ia mengambil masa sedikit,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sehingga 4 petang ini, sebanyak 190 rumah, 148 kereta, dan 11 motosikal dilaporkan rosak akibat kebakaran tersebut.

Sebelum itu, Perdana Menteri menerima taklimat mengenai operasi koordinasi insiden ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian, sebelum melawat sendiri tapak kebakaran. Taklimat tersebut diberikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Selain bantuan kewangan, Anwar turut memberi jaminan bahawa siasatan rapi akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Menurut beliau, pasukan siasatan dijangka memerlukan sedikit masa untuk memperoleh keputusan lengkap mengenai insiden tersebut.

Beliau juga mengingatkan bahawa penduduk yang rumahnya terkesan tidak dibenarkan pulang buat masa ini, dengan seluruh jentera kerajaan akan digerakkan untuk memastikan mereka mempunyai tempat tinggal sementara yang selesa.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan seperti polis dan bomba serta pihak PETRONAS kerana bertindak pantas dalam menangani insiden ini. Beliau juga menghargai bantuan yang diberikan oleh jawatankuasa kuil dan masjid berhampiran dalam membantu mangsa yang terjejas.

“Keutamaan kita sekarang ialah keselamatan, dan semuanya nampak terkawal setakat ini. Sebab itu saya memilih untuk datang sendiri ke tempat kejadian bagi membuktikan ia selamat,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat