Kini Pekerja Indonesia Masuk Malaysia Menerusi Satu Saluran Saja – PM

KUALA LUMPUR- Malaysia dan Indonesia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia’ di Istana Merdeka, Jakarta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeteraian MoU ini akan merintis kepada kemasukan semula Tenaga Kerja Indonesia (TKI) untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan di Malaysia menerusi hanya satu saluran tunggal.

“Alhamdulillah, hubungan Malaysia dan Indonesia bertambah erat apabila termeterainya ‘Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia’ di Istana Merdeka, Jakarta pada hari ini, Jumaat yang penuh berkat dan juga bersempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Selain daripada itu Perdana Menteri juga memaklumkan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo itu turut membincangkan potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan kelak.

“Saya juga mengadakan perbincangan empat mata antara bapak Presiden dan membincangkan antara lain, potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur, dengan pembukaan ibu negara Nusantara.

“Kami bersetuju pembangunan di kawasan sempadan akan diperhebat termasuklah kawasan-kawasan yang akan dikenal pasti untuk dimajukan oleh pelabur dari Malaysia,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri lagi, Malaysia dan Indonesia, sebagai pengeksport utama minyak kelapa sawit dunia bersepakat bahawa harga minyak kelapa sawit patut ditentukan secara bersama dan bukan bersaing sesama sendiri.

Selain itu beliau memberitahu, Indonesia turut sepakat dengan Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun termasuk menggunakannya di setiap persidangan antarabangsa.

“Insya-Allah jika kita bekerjasama, bahasa rumpun Melayu ini boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

“Syukur, lawatan kerja ini memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia dan Indonesia. Semoga hubungan dua buah negara yang bersaudara ini terus kukuh,” ucap Perdana Menteri.