Muhyiddin rayu Mahkamah Persekutuan bebaskan daripada tuduhan kes rasuahnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapinya adalah jelas dan mengarahkan ia dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Muhyiddin memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan semalam, untuk merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu, melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan, panel tiga tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan secara sebulat suara, membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Turut bersidang Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Panel itu berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lalu membebaskan bekas perdana menteri itu selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Mengenai isu dibangkitkan oleh perayu (pendakwaan) bahawa pertuduhan itu tidak cacat, panel itu berkata, ia menerima hujahan pihak berkenaan dan berpandangan bahawa empat pertuduhan terbabit adalah jelas.

Sehubungan itu panel itu berkata, tiada keperluan bagi pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Muhyiddin juga merayu keputusan panel yang memutuskan BERSATU sebuah pertubuhan politik di bawah takrifan bersekutu seperti yang ditakrifkan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM.

Panel bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa pertubuhan itu termasuk dalam definisi organisasi di bawah seksyen sama dan mendapati tiada merit dalam hujahan responden (Muhyiddin) bahawa oleh kerana pertubuhan tidak disebut dalam seksyen itu, ia tidak boleh dimasukkan dalam definisi bersekutu.

Panel itu berkata, ia berpandangan pengertian biasa pertubuhan ialah kumpulan yang dibentuk untuk tujuan tertentu dan oleh itu, ia termasuk dalam definisi organisasi.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi BERSATU.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan itu adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat