Kastam Pahang Rampas Rokok Seludup RM1.5 Juta

- Advertisement -

KUANTAN – Taktik sindiket menyembunyikan rokok seludup menggunakan lori bertutup penuh berjaya dihidu Kastam Pahang hasil operasi pada 20 Februari lalu.

Operasi itu dilancarkan selepas Kastam Pahang menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Gambang.

Pengarah Kastam negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Kastam Pahang menahan lori itu kira-kira jam 9 pagi.

“Pemandu lori berkenaan bagaimanapun sempat meloloskan diri selepas bertindak menyeberangi seberang jalan lebuh raya berkenaan tanpa menghiraukan keselamatan dirinya.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap lori ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan lebih 2 juta batang rokok putih disyakki barang larangan import.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang kita sita adalah RM1.58 juta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Wan Apandi berkata, lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur menghala ke Pantai Barat.

Katanya, semua rokok yang dirampas dan lori itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pahang di Kuantan bagi siasatan lanjut.

“Kita masih menyiasat dari mana rokok itu diperoleh dan ke mana ia akan dihantar atau dijual, cuma setakat maklumat yang kami ada ketika ini, ia dibawa dari negeri di Pantai Timur Semenanjung untuk pasaran Pantai Barat,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa atau memiliki barang yang dilarang pengimportannya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih 10 kali ganda nilai barang atau RM 100,000 atau mana yang lebih tinggi atau tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali.

tamat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat