KUALA LUMPUR- Sekiranya benar bagai didakwa yakni memiliki sokongan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut untuk adakan semula sidang Parlimen dan membenarkan undi percaya atau tidak percaya terhadapnya.
Tokoh Wartawan Nasional, Datuk A. Kadir Jasin memberitahu, dengan membenarkan sidang Parlimen serta undi percaya atau tidak percaya dapatlah Muhyiddin tahu parti mana yang mempunyai jumlah kerusi lebih besar daripada beliau.
“ Tak payah susah-susah beli MP atau kumpul SD.
“ Mudah saja. Tak perlu buat macam-macam tipu-helah dan angkara yang menyusahkan rakyat jelata dan menjatuhkan imej negara di mata dunia.
“ Hari ini, kalau ikut standard demokrasi Malaysia setaraf dengan Burma. Sama-sama rampas kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut A Kadir, kalau awal-awal lagi guna Dewan Rakyat untuk ambil alih kuasa dan bukan sambil makan mewah di Hotel Sheraton, tentu rakyat jelata dan dunia lebih mudah percaya kepada kerajaan ‘abah’.
“ Jangan sekali-kali lupa fatwa politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum dilantik Duta Khas bertaraf Menteri ke Timur Tengah iaitu kerajaan ‘abah’ ini adalah kerajaan ikut celah atap. Manalah tahu, boleh jadi berdosa kalau tak percaya!
“ Muhyiddin kata, dia berpegang kepada janji yang darurat akan ditamatkan lebih awal daripada 1 Ogos, jika pandemik Covid-19 berjaya dibendung. Soalnya apakah ukuran berjaya dibendung itu? Takut jadi macam PKP dan SOP. Boleh disambung dan dipinda dengan hanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersuara,” tempelak beliau.
Tambah A. Kadir kalaulah Muhyiddin benar-benar mempunyai sokongan yang besar dan segala-galanya telus maka lebih baik kenyataan itu dihebahkan dalam sidang akhbar terbuka supaya wartawan daripada segala organisasi media dari dalam dan luar negara boleh berinteraksi dengannya. Bagi interview hanya kepada Bernama dan “friendly media” tak berapa meyakinkan
Sempena setahun Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin yakin dia mempunyai sokongan yang besar.
Malah beliau yakin kedudukan dia adalah mengikut Perlembagaan dan sah di sisi undang-undang.
Muhyiddin berkata dirinya ada sokongan besar tapi tak tahu parti mana sekarang yang mempunyai jumlah kerusi lebih besar daripadanya. -SuaraTV