KUALA LUMPUR – Komitmen Sarawak menyokong usaha Kerajaan Persekutuan memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara menjadi antara perkara penting dibincangkan dalam pertemuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam.
Saifuddin berkata, pertemuan itu turut membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama membabitkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berkata, semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu terus menjadi asas kepada hubungan kedua-dua pihak.
“Saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu lagi, kerjasama serta persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi dan kesejahteraan rakyat.
Pertemuan itu diadakan ketika Saifuddin mengadakan kunjungan ke Sarawak semalam, dengan kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kepentingan bersama dalam memastikan hubungan Persekutuan-Sarawak terus berlandaskan persefahaman dan kerjasama.



