RM950.78 juta disalur kepada lebih 44,000 usahawan dan koperasi Sabah – Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Sebanyak RM950.78 juta pembiayaan disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen kerajaan memperluas akses pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan dan meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan usahawan perlu merangkumi sokongan menyeluruh, termasuk latihan, penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti serta peluang menembusi pasaran lebih luas.

“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi, peningkatan produktiviti, proses permohonan yang dipermudah dan akses kepada pasaran lebih luas,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 peringkat Sabah di Lintasan Deasoka, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan itu sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menumpukan peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai tambah ekonomi negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk Program Bantuan SME-UP, selain membuka peluang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran baharu dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, pelancongan serta kraftangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan Sabah memanfaatkan peluang yang ditawarkan menerusi Karnival HPM, termasuk khidmat rundingan pembiayaan, latihan digital dan padanan perniagaan.

Perkhidmatan berkenaan disediakan agensi di bawah KUSKOP bersama rakan strategik peringkat negeri bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Hajiji turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan, institusi kewangan serta sektor swasta mampu membantu lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran global.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat