Oleh Zihan Zari
SKUDAI – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memandang serius penyebaran iklan atau tawaran program pengajian yang menggunakan nama atau logo universiti sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai kesahihan penawaran dan status akreditasi program berkenaan.
UTM dalam kenyataan berkata, UTM sentiasa memastikan penawaran program akademik rasmi universiti mematuhi piawaian jaminan kualiti dan keperluan akreditasi yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Selaras dengan ketetapan tersebut, UTM tidak menawarkan program Sarjana Profesional, Sarjana Muda Profesional atau Diploma Profesional yang tidak mendapat akreditasi MQA sebagai program kelayakan akademik rasmi universiti,”kata kenyataan itu.
Katanya, ketetapan ini merangkumi semua fakulti, pusat, institut dan entiti berkaitan UTM, termasuk UTMSPACE, UTMSPACE Services, Institut Sultan Iskandar dan Kolej SPACE.
“UTM kekal komited dalam memelihara integriti akademik serta melindungi kepentingan pelajar dan masyarakat.
“Orang ramai, khususnya bakal pelajar dinasihatkan supaya membuat semakan dan mendapatkan pengesahan mengenai kesahihan tawaran program pengajian melalui laman sesawang rasmi UTM di https://www.utm.my atau portal kemasukan pelajar di https://admission.utm.my.
“Status akreditasi program juga boleh disemak melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di https://www2.mqa.gov.my/mqr sebelum membuat sebarang permohonan, pendaftaran atau pembayaran, ”katanya lagi.-SUARA.TV


