Kalau selama ini pameran kesihatan sering dikaitkan dengan pemeriksaan doktor dan ceramah kesihatan, MySihat Expo 2026 tampil dengan pendekatan yang lebih santai dan dekat dengan kehidupan seharian.
Berlangsung selama tiga hari dari 9 hingga 11 Oktober 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), acara anjuran Moonman Events itu menghimpunkan pelbagai elemen berkaitan kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, makanan, wangian, hiburan dan aktiviti keluarga dalam satu lokasi.
Menariknya, kemasukan adalah percuma, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai daripada pelbagai peringkat usia untuk datang bersama keluarga dan menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.
MySihat Expo 2026 dianjurkan oleh Moonman Events bersama United Expo, diuruskan oleh Events Mastery, dengan RAYDIATES BLUE Kuala Lumpur sebagai Rakan Kongsi Rasmi serta Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sebagai Rakan Kongsi Strategik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moonman Events, Encik Boo Dickson, MySihat Expo dirangka sebagai acara sehenti untuk keluarga mendapatkan akses kepada pemeriksaan kesihatan, konsultasi pakar dan pelbagai informasi berkaitan kesejahteraan diri dalam suasana yang lebih santai.

Lebih 10 hospital swasta dan institusi kesihatan terkemuka dijangka mengambil bahagian, termasuk Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthcare, UMSC, Avisena Specialist Hospital, Assunta Hospital dan ALTY Orthopaedic Hospital.
Selain pemeriksaan kesihatan dan konsultasi, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti kecergasan seperti Zumba, yoga, fun run serta cabaran kecergasan yang dirangka untuk menggalakkan gaya hidup lebih aktif.
Pelbagai sesi pendidikan kesihatan dan bengkel kesejahteraan turut disediakan dengan penglibatan pengamal perubatan serta pakar industri.
Bagi keluarga yang datang bersama anak-anak, MySihat Expo turut menyediakan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga. Pendekatan ini menjadikan penjagaan kesihatan bukan sekadar perkara yang perlu diberi perhatian apabila seseorang jatuh sakit, sebaliknya sebahagian daripada gaya hidup harian.
Turut menjadi tarikan ialah FRAGMANIA, sebuah ruang yang memberi tumpuan kepada dunia wangian dan minyak wangi. Pengunjung boleh meneroka pelbagai aroma, mengenali produk wangian dan mendapatkan pengalaman yang berkaitan dengan industri fragrance.
Lebih menarik, menerusi aktiviti Life Perfume Challenge, pengunjung berpeluang menyaksikan peserta menghasilkan wangian sendiri secara langsung. Konsepnya mengambil inspirasi daripada pertandingan seperti MasterChef, tetapi kali ini peserta menghasilkan perfume mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing.
Bagi mereka yang lebih gemarkan makanan dan hiburan, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta pula menawarkan pengalaman kulinari dengan penyertaan vendor tempatan, makanan dan minuman, persembahan hiburan serta aktiviti komuniti.

Penganjur turut melihat makanan, muzik dan hiburan sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang tidak boleh dipisahkan daripada kesejahteraan seseorang.
Atas sebab itu, aspek kesihatan mental turut diberi perhatian menerusi sesi perbualan yang melibatkan artis, pakar psikiatri dan pakar psikologi. Perbincangan berkenaan akan menyentuh kesedaran kesihatan mental serta cara menangani tekanan dan cabaran dalam kehidupan seharian.
Penglibatan komuniti muzik dan artis independen turut memberikan kelainan kepada program berkenaan, dengan persembahan muzik dan aktiviti kreatif yang dijadualkan sepanjang acara.
Dalam pada itu, pengunjung turut berpeluang menikmati ruang rehat dan santai menerusi Comfort & Care Zone yang dibawakan oleh REST N GO.
Selain aktiviti, cabutan bertuah turut menjadi antara tarikan utama MySihat Expo 2026. Pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah berkaitan gaya hidup, kesihatan dan hiburan, termasuk tiket Hot Wheels Monster Trucks Live serta tiket konsert BTS World Tour di Kuala Lumpur.
Turut ditawarkan ialah peralatan kecergasan rumah daripada Speediance, produk kesejahteraan daripada Gintell, baucar perkhidmatan ortopedik daripada ALTY Orthopaedic Hospital serta hamper daripada Farm Fresh dan Eclipse.
Penganjur menyasarkan sehingga 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung. Sasaran itu dijangka dapat dicapai berdasarkan pelbagai tarikan yang disediakan serta konsep acara yang terbuka kepada seluruh keluarga.
Dengan skala acara yang besar, MAEPS turut menyediakan lebih 7,000 ruang parkir bagi kemudahan pengunjung. Kemudahan pengangkutan ulang-alik dari kawasan parkir tertentu turut disediakan bagi membantu pergerakan pengunjung, termasuk warga emas dan orang kurang upaya.
MySihat Expo 2026 turut mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia/MOTAC.
Bagi penganjur, sokongan daripada kementerian, institusi kesihatan, pemain industri dan rakan strategik penting dalam memastikan masyarakat mendapat pengalaman yang lebih menyeluruh mengenai kesihatan dan kesejahteraan.
Akhirnya, MySihat Expo 2026 mahu membawa mesej yang mudah difahami menjaga kesihatan tidak semestinya sesuatu yang serius atau membosankan.
Pengunjung boleh datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan, mengikuti sesi kecergasan, mendengar perkongsian pakar, meneroka dunia wangian di FRAGMANIA, menikmati makanan di Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, mendengar muzik atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga.
Dengan kemasukan percuma, pelbagai aktiviti interaktif dan hadiah menarik menanti, MySihat Expo 2026 dijangka menjadi antara acara yang meriah di MAEPS pada Oktober ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar untuk mendapatkan pas masuk menerusi laman rasmi www.mysihatexpo.com.



