Lim Guan Eng wajar cermin diri sebelum menuding jari – Pemuda UMNO Pokok Sena

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad mengingatkan Lim Guan Eng supaya mengamalkan standard keadilan yang sama ketika mempersoalkan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan bahawa laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dijadikan asas untuk membina persepsi seseorang sudah bersalah sebelum siasatan menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan.

“Kita tidak menghalang sesiapa membuat laporan kepada SPRM. Silakan.

“Tetapi jangan jadikan sebuah laporan sebagai hukuman, jangan jadikan dakwaan sebagai fakta, dan jangan gunakan institusi penguatkuasaan sebagai pentas membina persepsi politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhan berkata, prinsip anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dihormati secara konsisten, tanpa mengira kedudukan atau hubungan politik seseorang.

“Jangan apabila terkena kepada orang lain, laporan SPRM dijadikan modal untuk mencipta persepsi bersalah; tetapi apabila melibatkan diri sendiri, kita menuntut supaya proses mahkamah dan prinsip ‘innocent until proven guilty’ dihormati.

“Standard keadilan mestilah sama untuk semua,” tegasnya.

Dalam kenyataan itu, Farhan turut membangkitkan prosiding mahkamah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi Guan Eng, sambil menegaskan bahawa pemimpin DAP itu juga berhak kepada anggapan tidak bersalah sehingga diputuskan oleh mahkamah.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran Guan Eng membina persepsi terhadap pihak lain ketika dirinya sendiri melalui proses kehakiman.

“Bukankah lebih wajar seorang pemimpin yang dirinya sendiri sedang melalui proses kehakiman berhati-hati daripada membina persepsi terhadap orang lain sebelum siasatan SPRM menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan?” soalnya.

Farhan turut berpandangan bahawa pendirian politik Guan Eng tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi kepimpinan DAP atau kerajaan Pulau Pinang.

Beliau merujuk ketegangan antara Guan Eng dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, serta penjelasan Chow berhubung gesaan supaya kerajaan negeri “menutup pintu” kepada UMNO, yang menurut kenyataan Farhan merupakan pandangan peribadi Guan Eng.

Menyentuh pengaruh keluarga dalam DAP, Farhan berkata perkara itu dibangkitkannya sebagai persoalan yang perlu dijawab dan bukannya tuduhan nepotisme yang dianggap sebagai fakta.

Beliau merujuk peranan Lim Kit Siang dan Guan Eng yang pernah memegang kedudukan utama parti, selain penglibatan Lim Hui Ying dalam kepimpinan pusat.

Menurutnya, Guan Eng juga perlu bersedia menjawab kritikan mengenai legasi politik serta pengaruh keluarganya dalam parti apabila mempersoalkan kredibiliti pemimpin lain.

Farhan menegaskan bahawa usaha mempertahankan integriti seharusnya berlandaskan bukti dan proses siasatan, bukannya persepsi politik.

“Kalau benar mahu mempertahankan integriti, gunakan prinsip yang sama kepada kawan dan lawan.

“Siasat jika ada asas. Bentangkan bukti. Biar SPRM menjalankan tugas. Biar mahkamah menentukan salah atau tidak,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat