Belanjawan 2027 bajet terakhir Anwar sebelum PRU16, taruhan seimbangkan cukai, subsidi dan undi – Syahir Sulaiman

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 adalah cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendepani tiga tekanan ekonomi dan politik yang saling berkait iaitu cukai, subsidi, dan undi.

Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman berkata, Belanjawan 2027 dijangka menjadi belanjawan terakhir yang dibentangkan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut wakil rakyat Pas itu, walaupun tempoh pentadbiran Perdana Menteri Anwar berakhir pada Disember 2027, dan PRU16 boleh diadakan sehingga Februari 2028, belum tentu beliau akan menunggu sehingga tarikh akhir tersebut.

“Sekiranya PRU16 diadakan lebih awal, belanjawan yang dibentangkan pada 9 Oktober ini mungkin menjadi belanjawan terakhir pentadbiran Anwar sebelum rakyat kembali ke peti undi.

“Justeru, setiap langkah yang terkandung di dalamnya membawa ‘taruhan’ ekonomi dan politik yang lebih besar.

“Tekanan pasti wujud untuk memperkenalkan lebih banyak langkah ‘populis’ yang memberikan manfaat segera kepada rakyat, antaranya sumbangan tunai, potongan cukai, pengumuman projek serta pelbagai bantuan kepada isi rumah, belia dan perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menyatakan, Malaysia kini berada pada satu titik perubahan yang penting, ekonomi dan politik.

Jelas beliau, dalam keadaan ruang fiskal yang semakin terhad, tekanan politik pula semakin meningkat menjelang PRU16.

“Malaysia memerlukan ruang fiskal untuk memperkukuh sistem kesihatan, pendidikan, dan pengangkutan awam, di samping mendepani cabaran masyarakat menua, serta meringankan kos sara hidup rakyat.

“Pada masa sama, subsidi bahan api, khususnya petrol dan diesel, amat diperlukan bagi menyerap impak kenaikan harga minyak dunia, seterusnya mengawal tekanan inflasi.

“Dalam konteks ini, kerajaan perlu mengekalkan disiplin fiskal sambil menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Landskap politik negara telah berubah susulan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Anwar kini berdepan gelombang penolakan oleh rakyat: kalah di Sabah, tersingkir di Johor dan tersungkur di Negeri Sembilan.

“Malah, nasib yang sama hampir pasti bakal menimpa di Melaka dan Sarawak.

“Ini tidak termasuk kekalahan mutlak PH di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis (SG4), serta kekalahan di Perak dan Pahang; menjadikan keseluruhannya 11 buah negeri.

“Natijahnya, kita sedang menyaksikan suatu bentuk ‘referendum rakyat’ daripada 14 negeri, dengan majoriti rakyat di 11 negeri secara jelas menolak PH.

“Perkembangan ini amat menarik dari sudut legitimasi dan ‘moral politik’ Anwar sebagai Perdana Menteri. Sebagai perbandingan, bekas Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berdepan tekanan politik susulan kekalahan besar Parti Buruh dalam pilihan raya tempatan dan wilayah pada Mei 2026, sehingga memaksa beliau meletakkan jawatan pada Jun 2026, walaupun masih mendapat sokongan majoriti di Parlimen Britain.

“Mungkin perkara sedemikian terlalu ‘jauh’ untuk berlaku di Malaysia,” katanya.

Berbalik kepada Belanjawan 2027, Syahir berkata, saban tahun, belanjawan perlu mengimbangi tuntutan ekonomi, sosial, dan politik yang semakin mencabar.

“Terpenting, Belanjawan 2027 perlu melindungi isi rumah daripada cabaran ekonomi semasa, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, di samping mengurus ‘realiti politik’ menjelang PRU16, tanpa mengorbankan agenda pembangunan mahupun langkah reformasi fiskal yang perlu sentiasa menjadi keutamaan negara.

“Di sinilah letaknya ujian Belanjawan 2027, belanjawan terakhir sebelum PRU16,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat