Khazanah bantu 130 syarikat tempatan melalui RM2.6 bilion Dana Impak

KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah menggerakkan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion menerusi Dana Impak bagi menyokong kira-kira 130 syarikat tempatan dan syarikat berkaitan Malaysia, selain menyediakan manfaat kepada lebih 4,200 bakat.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64 peratus merupakan pekerjaan berkemahiran, sekali gus mencerminkan peranan Dana Impak dalam memperkukuh keupayaan syarikat tempatan serta membangunkan bakat berkemahiran tinggi.

Dana berkenaan turut bertindak sebagai pemangkin kepada penyertaan modal luar dan rakan strategik dalam menyokong pertumbuhan syarikat serta usahawan tempatan.

Setakat 31 Disember 2025, pelaburan berjumlah RM905 juta yang disalurkan kepada syarikat berkenaan berjaya menarik modal luaran sebanyak RM433 juta, bersamaan 48 sen bagi setiap RM1 yang dilaburkan Khazanah.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, kekuatan syarikat tempatan semakin penting dalam membina daya tahan ekonomi Malaysia, terutama ketika modal menjadi semakin selektif dan persekitaran pasaran global semakin kompleks.

“Sebagai pelabur jangka panjang yang bermatlamat jelas, kami menyedari bahawa daya tahan Malaysia semakin bergantung pada kekuatan syarikat tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kemajuan Dana Impak merupakan hasil kerjasama kerajaan, pelabur, pengurus dana, rakan industri dan institusi dalam memperkukuh syarikat Malaysia sepanjang kitaran pertumbuhan.

Katanya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan daya tarikan pelaburan serta membuka akses kepada sumber modal yang lebih besar dalam jangka panjang.

Sejak 2024, Dana Impak memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan (MTC), serta sektor semikonduktor dan pembuatan termaju.

Dalam sektor modal teroka dan syarikat pemula, Jelawang Capital menyediakan peruntukan sehingga RM1 bilion bagi memperluas akses kepada pembiayaan peringkat awal, selain memperkukuh kumpulan pengurus dana tempatan dan serantau.

Jelawang Capital setakat ini menyokong lima pengurus dana Malaysia menerusi Emerging Fund Managers’ Programme (EMP) dan memberi komitmen pelaburan kepada dua pengurus dana di bawah Regional Fund Managers’ Initiative (RMI).

Bagi syarikat peringkat pertengahan pula, Dana Impak menggabungkan pembangunan keupayaan dengan ekuiti persendirian, pembiayaan swasta dan pelaburan langsung bagi membantu syarikat berkembang, berinovasi serta menembusi pasaran baharu.

Sehingga akhir 2025, sebanyak 48 syarikat peringkat pertengahan Malaysia menerima sokongan menerusi MTC Growth Innovation Programme (MGIP) dan Program ELEVATE.

Dalam sektor semikonduktor dan pembuatan termaju, Dana Impak memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan teknologi, industri dan bakat bernilai tinggi.

Antara pelaburan yang diketengahkan ialah sokongan kepada SkyeChip sejak peringkat awal sehingga Khazanah menjadi pelabur asas utama dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Selain itu, Cambrian Fund, hasil kerjasama Khazanah, pengasas bersama ViTrox dan Southern Capital Group, berjaya mengumpul RM104.5 juta bagi menyokong generasi baharu usahawan Industri Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) Malaysia.

Pada masa sama, Khazanah memperkukuh kaedah mengukur impak pelaburannya menerusi rangka kerja Socio-Economic Metrics Assessment Ratings at Khazanah (SEMARAK), yang dibangunkan pada 2022 dan terus ditambah baik.

SEMARAK menilai pelaburan Dana Impak berdasarkan tiga teras utama iaitu memangkin ekosistem strategik, mentransformasikan syarikat Malaysia dan membangunkan bakal juara Malaysia masa hadapan.

Amirul Feisal berkata, Dana Impak akan terus membangunkan program baharu berdasarkan teras berkenaan bagi menyokong syarikat, usahawan dan bakat Malaysia yang berpotensi, di samping memperkukuh ekosistem strategik negara.

“Melangkah ke hadapan, Dana Impak akan terus memperkukuh keupayaan dan membangunkan bakat dalam ekosistem strategik.

“Menerusi inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan, kami akan terus menggerakkan modal dan menjalin kerjasama bagi menyokong lebih banyak syarikat dan usahawan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan, bersaing di peringkat global dan meraih lebih banyak manfaat daripada nilai yang dihasilkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat