KUALA LUMPUR – Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain di Malaysia dua hari lepas mencipta rekod kehadiran penonton tertinggi seramai 261,000 orang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hampir sedekad dalam sejarah litar yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 iaitu pada 2017.
Pengerusi SIC Datin Anita Azrina Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah 103,000 orang kehadiran direkodkan pada hari Ahad iaitu hari perlumbaan.
Perlumbaan yang sepatutnya diadakan di Bahrain itu terus mencari acara terlaris yang mencetuskan fenomena baharu untuk litar Sepang.
Kembalinya perlumbaan kereta paling berprestij membuktikan kuasa luar biasa sukan itu dalam menyatukan masyarakat serta memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pengunjung dari seluruh dunia.
“Untuk tempoh dua bulan lalu, kami bekerja rapat dengan pasukan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dalam satu kerjasama erat, selain sokongan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan perlumbaan bertaraf dunia ini.
“Pencapaian ini membuktikan apa yang mampu dilakukan apabila organisasi, komuniti dan rakan kerjasama bergabung dengan visi yang sama,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Bahrain International Circuit (BIC) Shaikh Salman Isa Al Khalifa pula, beliau berkata penganjuran tersebut berjaya membawa Bahrain ke Malaysia, dengan memperkenalkan budaya dan hospitaliti negara itu kepada peminat di rantau ini.
“Lebih 260,000 peminat hadir menyaksikan acara terbesar pernah diadakan di SIC dan kami amat berterima kasih atas semangat serta tenaga yang mereka bawa.
“Acara sebesar ini tidak mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh singkat tanpa kerjasama luar biasa SIC, selain sokongan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Persekutuan Motor Bahrain dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM),” katanya.



