KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memulangkan paku buah keras kepada Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari dengan menegaskan perbuatan 10 bekas Exco Negeri Sembilan itu sebagai tindakan tikam belakang.
Menurut Loke, isu pokok dalam perkara ini ialah 10 Exco tersebut mengangkat sumpah taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos 2026 dan kemudian membuat keputusan untuk mengesahkan Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku pada 16 September 2026.
“Saudara Fadhli, jangan tukar “goal post”.
“Kalau tak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup Angkat Sumpah Taat Setia selepas PRN untuk membentuk Kerajaan Negeri?
“Ini perbuatan tikam belakang! DAP tak pernah buat benda macam ini,” tegas beliau.
Menurut Menteri Pengangkutan itu, DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
Fadhli sebelum itu mempersoalkan sama ada Loke akan menerima sekiranya Exco di negeri lain dipecat daripada jawatan mereka oleh Raja tanpa kelulusan eksekutif.
Ini susulan apa yang berlaku di Negeri Sembilan yang mencipta preseden yang tidak dicabar oleh Putrajaya bahawa Raja boleh membatalkan pelantikan anggota exco tanpa nasihat menteri besar.
Setiap perlembagaan negeri mempunyai klausa yang menyatakan bahawa anggota Exco berkhidmat atas perkenan sama ada Raja negeri masing-masing, atau oleh Yang di-Pertua negeri bagi yang tidak mempunyai raja.
Dalam satu kenyataan, Fadhli berkata cara peraturan ini ditafsirkan mestilah konsisten, dan bukan hanya dibaca dalam konteks di Negeri Sembilan atau apabila DAP tidak menyukai kerajaan negeri berkenaan.



