KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti badan induk itu.
FAM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan Shuhaily terpaksa menolak pelantikan itu berikutan kekangan masa dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Justeru, FAM menghormati keputusan berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu badan induk itu dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus.
“FAM akan memastikan kelancaran fungsi Jawatankuasa Integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus FAM,” menurut kenyataan badan induk itu.
Sebelum ini, FAM mengumumkan pelantikan Shuhaily sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM yang mana pengerusinya ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.



