KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar.
“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83, saya tegaskan bahawa amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
“Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), perlu ditangani dengan segera agar maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.
“Tatkala kita mendepani kesan perubahan iklim, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak,” tegas Anwar.



