KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari yakin kemelut di Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi terhadap perpaduan ummah seperti yang digambarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Menurut Fadhli, rakyat boleh menilai sendiri bahawa kemelut ini bukan semata-mata persoalan Umno dan Pas.
“Anthony Loke bercakap tentang apa yang beliau yakin. Saya juga berhak menyebut apa yang saya yakin. Saudara (Loke) yakin kemelut di Negeri Sembilan akan menjejaskan momentum perpaduan Melayu-Islam Umno-Pas.
“Saya pula yakin, Insya-Allah, momentum perpaduan ummah yang sedang terbina akan memberikan masalah yang besar kepada DAP dalam pilihan raya akan datang. Saya yakin banyak kerusi yang dimenangi PH dan juga DAP dalam PRU15 akan berdepan persaingan yang jauh berbeza apabila pola politik Melayu berubah.
“Saya juga yakin isu Negeri Sembilan ini tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi terhadap perpaduan ummah seperti yang saudara gambarkan. Rakyat boleh menilai sendiri bahawa kemelut ini bukan semata-mata persoalan Umno dan Pas.
“Ada dimensi institusi, Perlembagaan negeri dan juga tindakan serta pendirian di peringkat Persekutuan yang perlu dinilai secara keseluruhan,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, sejak dari awal lagi, pendirian Perdana Menteri dalam kemelut ini turut menjadi perhatian.
Ujarnya, dalam persoalan yang menyentuh hubungan institusi diraja dan pentadbiran negeri, sewajarnya Majlis Raja-raja lebih sesuai untuk dirujuk dan bukannya terus berpihak seperti tindakan Perdana Menteri.
“Pendekatan yang lebih berhati-hati sewajarnya diambil, termasuk menghormati ruang dan peranan institusi Raja-Raja menurut kerangka Perlembagaan.
“Begitu juga dengan peranan Jabatan Peguam Negara. Rakyat menyaksikan bagaimana Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan demi kenyataan berhubung kemelut ini.
“Maka saya mahu bertanya satu soalan yang mudah: adakah saudara fikir pendekatan dan tafsiran yang sama akan terus digunakan sekiranya suatu hari nanti Kerajaan Persekutuan bertukar tangan?
“Namun saya bersetuju dengan saudara dalam satu perkara. Memang ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini. Antara hikmahnya ialah rakyat sekarang dapat melihat dengan lebih jelas implikasi sebenar peruntukan bahawa seseorang anggota Exco memegang jawatan selama diperkenan oleh Raja.
“Di Negeri Sembilan, pelantikan anggota Exco telah dibatalkan tanpa nasihat Menteri Besar dengan sandaran kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri.
“Maka prinsip ini jangan hanya dibaca dalam konteks Negeri Sembilan atau ketika ia melibatkan kerajaan yang tidak disukai DAP.
“Jika peruntukan yang sama atau mempunyai kesan perlembagaan yang setara terdapat dalam Undang-Undang Tubuh negeri lain, termasuk Pulau Pinang, prinsip dan tafsiran yang sedang dipertahankan hari ini tentunya perlu dinilai secara konsisten sekiranya keadaan yang seumpamanya berlaku di sana.
“Jika anggota pentadbiran negeri boleh kehilangan jawatan apabila perkenan ditarik balik menurut peruntukan perlembagaan yang berkenaan, persoalannya ialah: apakah pendirian saudara sekiranya suatu hari nanti keadaan yang sama berlaku terhadap Exco kerajaan negeri yang dikuasai parti saudara? soal beliau.
Kata Fadhli, undang-undang tidak sepatutnya berubah mengikut siapa yang menjadi kerajaan dan siapa yang menjadi pembangkang.
“Prinsip Perlembagaan juga tidak boleh menjadi benar ketika ia terkena kepada lawan, tetapi tiba-tiba dianggap salah apabila terkena kepada kawan.
“Hari ini saudara mungkin melihat Negeri Sembilan sebagai kelemahan Umno-Pas. Esok, tafsiran dan prinsip yang sama mungkin menjadi persoalan di negeri yang diperintah oleh parti saudara sendiri.
“Oleh kerana saudara bercakap tentang apa yang saudara yakin, saya juga menulis tentang apa yang saya yakin. Saudara berhak yakin bahawa kemelut Negeri Sembilan akan menjejaskan momentum perpaduan Melayu-Islam.
“Saya pula yakin, Insya Allah, momentum perpaduan ummah akan terus berkembang dan rakyat akan menilai bukan sahaja apa yang berlaku di Negeri Sembilan, tetapi juga peranan Kerajaan Persekutuan serta institusi-institusi yang terlibat dalam keseluruhan episod ini.
“Anda berhak yakin. Kenapa tidak saya? katanya.


