KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas dilihat bertambah baik dengan kenaikan lebihan hasil sebanyak RM2.148 bilion dan pengurangan defisit sebanyak RM3.878 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Jabatan Audit Negara (JAN) dalam satu kenyataan hari ini dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menyatakan Nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga menurun daripada 4.1 peratus kepada 3.7 peratus pada tahun 2025.
“Pencapaian ini lebih kukuh berbanding sasaran 3.8 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025.
“Ini meletakkan asas yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka masa sederhana bawah 3 peratus,” katanya.
Wan Suraya berkata kadar pertumbuhan hutang Persekutuan bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 menurun daripada 10.2 peratus kepada 5.9 peratus.
“Pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan juga menunjukkan perkembangan positif dengan pinjaman baharu
menurun sebanyak 8.2%, iaitu daripada RM202.248 bilion pada tahun 2024 kepada RM185.577 bilion pada tahun 2025,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan JAN menyebut penggunaan utama pinjaman baharu tersebut adalah untuk membayar balik prinsipal pinjaman terdahulu yang telah matang pada tahun 2025 berjumlah RM 106.144 bilion dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM75.560 bilion bagi tujuan perbelanjaan projek-projek pembangunan.
Fokus utama pengauditan dalam LKAN kali ini antara lain adalah berhubung Pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut, Pembayaran Akaun Amanah Khas, Wang Pendahuluan Kontraktor, Akaun Belum Terima Kos Pengalihan Utiliti dan laporan pengurusan Projek Littoral Combat Ship (LCS) hasil pengauditan secara interim setakat Julai 2026, menurut kenyataan itu.
“Selain itu, kutipan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut adalah rendah, iaitu hanya sejumlah RM0.465 bilion (5 peratus) daripada RM9.273 bilion yang berjaya dikutip pada 2025, di mana penstrukturan semula pinjaman perlu dibuat,” katanya.
Wan Suraya berkata Kerajaan Persekutuan juga telah menghapus kira sejumlah RM578.32 juta tunggakan bayaran balik yang terdiri daripada RM127.33 juta baki pokok belum selesai serta faedah dan faedah lewat berjumlah RM450.99 juta melibatkan 23 pinjaman pada 2025.
“Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Kewangan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, memperketat penilaian risiko serta menilai semula keberkesanan penstrukturan semula pinjaman,” menurut kenyataan itu.



