NIBONG TEBAL – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh capaian Wi-Fi berkapasiti tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan keseluruhan 1,925 titik akses beroperasi setakat 30 September lalu bagi menyokong pembelajaran digital dan keperluan warga kampus.
Jumlah itu merangkumi 822 titik akses tambahan di bawah Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Fasa 3 yang siap dilaksanakan pada 18 September, lima hari lebih awal daripada sasaran asal pada 23 September 2026.
Menurut kenyataan MCMC, pemasangan tambahan itu melibatkan 740 titik akses di USM Kampus Nibong Tebal serta masing-masing 41 titik akses di USM Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam dan USM Bukit Jambul.
Pemasangan berkenaan melengkapkan 1,103 titik akses yang telah disediakan menerusi Fasa 2 pada Julai 2025.
Pada masa sama, kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di USM Kampus Induk sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang 30 Oktober ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching meninjau pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi IPTA di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM, di sini hari ini.
Tinjauan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkukuh ketersambungan digital di institusi pendidikan awam.
Menurut MCMC, projek tersebut bertujuan meningkatkan kapasiti dan kualiti capaian Wi-Fi bagi menyokong aktiviti pembelajaran serta kehidupan kampus yang semakin bergantung pada perkhidmatan digital.
Pelaksanaannya memberi tumpuan kepada kawasan seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.
Kemajuan di USM itu turut menjadi sebahagian daripada inisiatif peluasan Wi-Fi di Pulau Pinang yang melibatkan 32 lokasi, merangkumi IPTA serta institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Setakat 29 September lalu, sebanyak 24 lokasi atau 75 peratus telah siap, dengan anggaran pelaburan keseluruhan bagi inisiatif di negeri itu berjumlah RM61.5 juta melalui USP.
Pada peringkat nasional, projek Wi-Fi berkenaan melibatkan 538 lokasi yang merangkumi IPTA serta institusi latihan di bawah MARA dan KESUMA, dengan anggaran pelaburan keseluruhan sekitar RM634.1 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 408 lokasi atau 76 peratus telah siap setakat 30 September, manakala pelaksanaan di lokasi selebihnya sedang diteruskan.
MCMC memaklumkan, pihaknya bersama Kementerian Komunikasi akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pendidikan serta penyedia perkhidmatan bagi memperluas capaian Internet berkualiti secara berperingkat.
Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaburan melalui USP memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa, tenaga pengajar dan komuniti pendidikan menerusi capaian Internet yang lebih stabil serta pantas.
Usaha tersebut sekali gus menyokong pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi yang memberikan manfaat kepada rakyat.


