Tuanku tiada hak batal pelantikan EXCO tanpa nasihat Menteri Besar – Peguam

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa nasihat Menteri Besar, menurut peguam Amir Azmi.

Beliau berkata, secara asasnya kuasa Raja dalam urusan pentadbiran di bawah Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) hendaklah dilaksanakan atas nasihat Menteri Besar dan EXCO.

Menurutnya, kuasa Yang di-Pertuan Besar berkaitan tempoh perjawatan anggota EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama-sama Perkara 38(4).

Perkara 38(4) memperuntukkan bahawa sekiranya Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri, beliau hendaklah mengemukakan peletakan jawatan seluruh EXCO, kecuali jika Dewan dibubarkan atas permintaannya.

Amir berkata, Perkara 38(5) pula menyatakan bahawa tertakluk kepada Perkara 38(4), seseorang anggota EXCO selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Raja, melainkan pelantikannya dibatalkan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar.

“Kuasa Raja memperkenankan tempoh perjawatan EXCO dalam Perkara 38(5) UUTKNS hanya terpakai sekiranya Menteri Besar telah kehilangan sokongan majoriti melalui undi tidak percaya atau berhenti sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 38(4).

“Jika tidak berlaku keadaan yang dinyatakan dalam Perkara 38(4), maka Raja tidak boleh menjalankan kuasanya sebagaimana dalam Perkara 38(5),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amir, selagi Menteri Besar masih memegang jawatan dan mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri, kedudukan anggota EXCO hanya boleh ditentukan atas nasihat Menteri Besar.

“Dalam keadaan Menteri Besar masih ada, kedudukan EXCO ditentukan atas nasihat Menteri Besar.

“Maka, pemecatan EXCO tersebut, jika dibuat tanpa nasihat Menteri Besar, secara undang-undangnya adalah khilaf, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa,” katanya.

Pada Ahad, Pengelola Bijaya Diraja Istana Besar Seri Menanti, Datuk Azizi Mohamad Ali mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan anggota EXCO Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas anggota EXCO terbabit didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.

Istana turut merujuk Perkara 38(5) UUTKNS yang menyatakan bahawa seseorang anggota EXCO selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kemudian diarahkan mengemukakan senarai calon anggota EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara 38(2).

Bagaimanapun, pandangan Amir itu merupakan suatu tafsiran undang-undang yang mempertikaikan keabsahan tindakan berkenaan dan belum diputuskan oleh mana-mana mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat