KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Nor sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menolak kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar Kedah enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah tidak mengikut Perlembagaan kerana menceroboh kuasa Persekutuan, dan bukannya mencari jalan untuk mengatasi keputusan tersebut yang boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.
Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP Ramkarpal Singh berkata, Sanusi sepatutnya menerima hakikat bahawa perjudian berlesen telah menjadi sebahagian daripada kehidupan di Malaysia dan lesen untuk operasi perniagaan berkaitan perjudian adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan memandangkan perkara ini tidak menyinggung sensitiviti orang bukan Islam di negara ini.
“Memang tidak dinafikan, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan Sanusi sebagai berkata bahawa perkara itu akan dinilai terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri bagi mengelakkan sebarang tindakan yang diambil daripada dianggap menghina mahkamah.
“… tetapi persoalan yang perlu ditanya ialah adakah MB sedang mempertimbangkan cara untuk melengkapi keputusan mahkamah tersebut, dan bukannya mencari jalan untuk mengelak daripada mematuhinya.
Beliau sepatutnya menumpukan usahanya untuk mengenal pasti kaedah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu orang Islam yang terlibat dalam aktiviti perjudian, serta mengarahkan kerajaannya untuk berhubung dengan agensi-agensi persekutuan seperti Kementerian Kewangan, PDRM, SPRM, SKMM dan pihak berkuasa tempatan mengenai cara terbaik untuk mencapainya,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Tambahan pula kata Ramkarpal, Sanusi sudah tentu sedar bahawa tindakan menyekat perjudian berlesen berkemungkinan besar akan mengakibatkan peningkatan aktiviti perjudian haram di pasaran gelap yang dijalankan oleh individu atau sindiket, seperti perjudian dalam talian.
“Memandangkan isu perjudian berlesen telah dimuktamadkan secara jelas oleh pihak mahkamah menerusi keputusan terkini Mahkamah Persekutuan, Sanusi sepatutnya menerima hakikat bahawa aktiviti perjudian ini adalah sah di sisi undang-undang dan justeru, tiada sebab untuk mencari pilihan lain bagi mengelakkannya.
“Keputusan mahkamah mengenai perkara ini adalah jelas dan Sanusi sepatutnya mematuhinya kerana ia bukanlah urusan beliau untuk mencari jalan bagi mengelak daripada mematuhinya,” kata Ramkarpal.
Sanusi sebelum itu berkata, Kerajaan Negeri Kedah mengakui terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kedah mendapatkan kebenaran merayu berhubung tindakan menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri itu.
Sanusi berkata, kerajaan negeri ketika ini dalam proses mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak peguam mengenai implikasi keputusan itu serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas ini.
“Mana ada orang boleh tak akur perintah mahkamah…. itu hina mahkamah, tak bolehlah.
“Saya punya hati, dengan Tuhan…. Tuhan saya tak bagi, tapi makhluk bagi… kalau saya reda dengan mungkar, saya berdosa,” katanya.



