KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Hasmuni Hassan menegaskan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah kepimpinan Datuk Dr Asyraf Wajdi telah mengalami transformasi yang amat ketara, telus dan berimpak tinggi.
Berbanding zaman pemerintahan PH menurut Hasmuni, kepimpinan Asyraf berjaya memperkasakan semula fungsi asal MARA sebagai benteng kebangkitan ekonomi dan pendidikan Bumiputera.
“Saya nak respon tuntutan Angkatan Muda Keadilan dan perwakilan PKR supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA.
“Ini adalah kenyataan yang amat dangkal, cetek fikiran dan pandir secara politik.
“Tuntutan berbaur emosi ini memperlihatkan betapa ramai kepimpinan PH terbelenggu dalam politik ghanimah dan habuan, bukannya mengutamakan amanah kepada rakyat,” tegas Hasmuni.
Dari segi ketelusan kewangan, Hasmuni memberitahu Asyraf memulakan reformasi tatakelola yang amat tegas tanpa kompromi, memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada rakyat yang berhak tanpa sebarang kebocoran.
“Di bawah seliaannya, anak-anak syarikat MARA yang dahulunya mengalami kerugian tegar kini ditadbir secara profesional, membolehkan syarikat-syarikat ini mencatatkan keuntungan, mengurangkan liabiliti, serta kembali memberikan pulangan modal yang kukuh.
“MARA juga melangkah jauh apabila institusi pengajian tinggi bawah MARA seperti UniKL mencatatkan rekod kebolehpasaran graduan yang sangat tinggi, selain MRSM terus melahirkan puluhan ribu pelajar cemerlang yang terus ditaja di dalam dan luar negara.
“Kebijaksanaan beliau menggabungkan elemen pemikiran kewangan Islam dengan pembangunan sosioekonomi Bumiputera telah menjadikan MARA sebuah institusi yang sangat disegani dan telus, berbeza sama sekali dengan zaman PH dahulu,” tegas Hasmuni mempertahankan Asyraf.
Sebenarnya, kata beliau, Umno langsung tidak hairan dengan desakan dangkal seperti ini.
Ujarnya, kepakaran, integriti dan rekod prestasi Asyraf dalam bidang kewangan serta pentadbiran bukan sahaja diiktiraf di dalam negara, malah tokoh seperti beliau sentiasa dicari dan dihargai oleh pelbagai institusi kewangan antarabangsa luar negara.
“Jika Asyraf dipecat sekalipun, institusi kewangan global sedia menantikan khidmat beliau.
“Cuma elok rakyat bertanya, jika PKR beria-ia mahukan jawatan Pengerusi MARA ini, tunjukkan calon pemimpin PH yang benar-benar layak dan berwibawa untuk memimpin institusi sebesar MARA.
“Adakah PH nak calonkan pemimpin besar seperti Sany Hamzan untuk mengambil alih dan menguruskan portfolio kewangan, pendidikan serta pembangunan perniagaan bilion ringgit MARA?
“Jika inilah standard kepimpinan yang mahu ditawarkan oleh PH untuk mengemudi nasib Bumiputera, maka jelaslah mengapa rakyat semakin hilang keyakinan terhadap retorik mereka,” katanya.



