KUALA LUMPUR – DAPSY menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Pembangunan Kawasan ke Parlimen dalam kadar segera.
Tegas Ketua DAPSY Woo Kah Leong, reformasi sebegini tidak wajar ditangguh lagi demi memperkukuh demokrasi negara kita agar menjadi lebih adil dan matang.
Menurut beliau, peruntukan kawasan tidak boleh lagi bergantung kepada budi bicara politik atau pendekatan sementara dan mesti dijadikan satu sistem yang jelas, adil dan berasaskan undang-undang bagi memastikan semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, dilayan secara saksama.
Kah Leong menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo agar kerajaan Persekutuan segera mengkanunkan dan menggubal undang-undang berkaitan Peruntukan Pembangunan Kawasan atau Constituency Development Fund (CDF).
“DAPSY turut menegaskan bahawa momentum pembaharuan ini mesti diteruskan selepas pemansuhan AUKU. Reformasi tidak boleh berhenti sebegitu sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam perubahan sistem yang lebih menyeluruh.
“Sekiranya AUKU yang menzalimi mahasiswa akan dimansuhkan, maka tindakan yang menjadikan peruntukan kawasan sebagai senjata politik pun harus dihentikan,” tegas Adun Pasir Bedamar itu dalam kenyataan pada Rabu.
Kah Leong mengingatkan, peruntukan kawasan bukan hadiah politik daripada kerajaan.
Namun tegasnya, peruntukan adalah wang rakyat serta hasil cukai rakyat, dan sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat di setiap kawasan Parlimen tanpa mengira wakil rakyat mereka berada dalam pihak kerajaan atau pembangkang.
“Penggubalan undang-undang berkaitan CDF juga merupakan langkah penting untuk menunaikan semangat manifesto Pakatan Harapan (PH), selain membina budaya politik baharu yang lebih matang, telus dan adil.
“Undang-undang CDF akan memberikan perlindungan menyeluruh kepada hak pengundi di seluruh negara untuk memastikan setiap Ahli Parlimen dapat menjalankan tugas untuk membantu rakyat, membangunkan kawasan dan menyelesaikan masalah setempat tanpa halangan politik,” katanya.



